Adakah penyingkiran PAS sebahagian daripada rancangan ‘Impian MB Johor’ DAP? - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Adakah penyingkiran PAS sebahagian daripada rancangan ‘Impian MB Johor’ DAP?


Oleh Hazlan Zakaria

Nampaknya kesungguhan DAP untuk melihat PAS keluar daripada Pakatan seperti lebih berkaitan dengan perancangan parti itu di Johor, berbanding kekecewaan terhadap sikap PAS yang bertegas mahu melaksanakan Kanun Jenayah Syariah, atau hudud.

Ini kerana jika semuanya berjalan lancar untuk DAP pada pilihanraya umum (PRU) akan datang atau yang seterusnya, parti itu mungkin berpeluang untuk menerajui sebuah lagi negeri dalam satu atau dua lagi PRU selepasnya

Ia seperti perancangan jangka panjang yang berbaloi.
Apatah lagi selepas pengalaman buruk terpaksa melepaskan kedudukan menteri besar di Perak selepas tsunami politik pada PRU ke-12 pada 2008.

Ketika itu, DAP terpaksa memberi laluan kepada Nizar Jamaluddin daripada PAS, walaupun parti itu memenangi jumlah kerusi terbesar, iaitu 18, berbading enam bagi PAS dan tujuh bagi PKR.

DAP terpaksa melepaskan kedudukan itu selepas peruntukan perlembagaan negeri mewajibkan orang Melayu sebagai MB. Oleh kerana DAP tiada Adun Melayu dan PKR pula tiada calon yang sesuai, kedudukan itu diperolehi PAS.

Atau mungkin juga ekoran cita-cita politik PAS yang barangkali lebih besar berbanding melaksanakan hudud di Kelantan.

Bukankah PAS pernah menghantar Adunnya ke Istana Selangor, sebagai calon untuk menggantikan bekas MB Khalid Ibrahim?

Ia dilakukan walaupun pendirian jelas Pakatan untuk memberikan kedudukan itu kepada PKR. Tentulah, ini semua berlaku ketika gabungan parti pembangkang itu masih wujud dan berfungsi.

Ketiadaan PAS mungkin satu perkara yang terbaik untuk DAP jika parti itu mahu berhadapan dengan BN di Johor (bersama mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP pada PRU akan datang).

Ini kerana jika ia bekerjasama dengan golongan liberal PAS - sama ada PasMa atau G18 - yang menubuhkan entiti politik yang baru, Dap memang tahu bahawa agenda Islamis – kalaupun tidak hudud secara khusus – masih ada dalam pertimbangan.

Ia adalah perkara yang akan berulang dalam mana-mana gabungan pembangkang pada masa akan datang. Jika DAP boleh menerimanya, ia menunjukkan parti itu turut bermain gaya politik yang sama ketika dengan PAS.

Apa-apa pun, ketika ini Dap mempunyai kerusi DUN paling banyak di Johor iaitu 13, berbanding PAS (4) dan PKR (1).

Dengan anggapan bahawa trend pada masa hadapan akan mengikut corak yang sama, gabungan pembangkang (DAP dan parti-parti lain) akan menyaksikan parti itu mempunyai kedudukan paling kuat bagi jawatan MB, jika gabungan itu berjaya merampas Johor.

Memang, kesungguhan DAP ke arah sekularisme barangkali bukan satu-satunya sebab di sebalik penolakan keras mereka ke atas hudud, serta reaksi emosional terhadap PAS dan cita-cita undang-undang dan negara Islamnya.

Boleh dikatakan bahawa DAP memerlukan alasan untuk menyingkirkan PAS daripada perancangan masa hadapannya di Johor. PAS dan barisan pimpinan daripada puak ulama’ yang angkuh telah mengikut rentak permainan DAP itu.

Berhubung soal ketiadaan calon Melayu untuk dihantar ke Istana Johor pula, DAP sudah pun mula berusaha keras untuk menarik dan merekrut pemuda Johor dan golongan Melayu liberal.

Walaupun Johor dilihat sebagai kubu Umno dan benteng Melayu, keadaan mungkin berbeza di kalangan golongan muda.

Mungkin ada yang mengatakan Melayu di Johor langsung tidak sama dengan Melayu di Bangsar atau Subang Jaya misalnya. Tetapi, di Bangsar dan Subang Jaya juga ada orang yang bodoh.

Dan kisah kubu Umno dan benteng Melayu ini juga pernah dikaitkan dengan Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor sejak dulu lagi. Kesemuanya sudah pernah jatuh ke tangan Pakatan.

Memang antara faktor penyumbang kejatuhan itu adalah Anwar Ibrahim dan kemarahan rakyat terhadap BN. Akan tetapi, jika sentimen yang sama itu berterusan, apa sahaja keadaan boleh berubah, termasuk Johor.

Sudah terang lagi bersuluh yang parti sosial demokratik itu sedang berusaha untuk membawa orang Melayu berprofil tinggi ke dalamnya. Antaranya adalah sasterawan negara A Samad Said, atau lebih mesra dipanggil Pak Samad, yang menjadi ahli seumur hidup baru-baru ini.

Maskot atau tidak – seperti yang dikatakan pengkritik, DAP kini memiliki Pak Samad untuk terus meraih sokongan. Sekarang juga ada gerakan di kalangan NGO serta aktivis masyarakat sivil yang bergerak secara individu yang sudah mula mempromosikan idea-idea liberal kepada anak muda di negeri selatan tersebut.

DAP terus membuka pintunya kepada orang Melayu, tetapi pada masa sama berhati-hati agar tidak dilihat memperjuangkan hak Melayu yang pasti tidak disenangi oleh tapak sokongannya, masyarakat Cina.

Sebaliknya, parti itu mengalihkan perhatian dengan memaparkan ahli Melayu mereka sebagai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai agenda Melayu atau Islam.

Namun kunci kepada pengembangan DAP masih bergantung kepada kebolehannya mendapat sokongan Melayu di negeri seperti Perak, Selangor dan Johor. Itulah sebabnya mengapa ia memerlukan PKR dan PAS pada asalnya. PAS perlu keluar kerana tidak lagi diperlukan.

Ironinya, DAP kini bercakap soal merekrut orang Melayu, tetapi terpaksa membuatkan ahli Melayu mereka mengeluarkan kenyataan bahawa mereka lebih melihat diri sebagai rakyat Malaysia, berbanding Melayu atau Muslim.

Apa-apa pun, hakikat bahawa rekrut anak muda Melayu DAP adalah bekas ahli PAS dari Johor mungkin bukan sekadar kebetulan.

Walaupun beliau terlalu muda untuk menjadi MB, ia tetap adalah satu permulaan. Tambahan pula DAP sudah mempunyai orang Melayu berprofil tinggi seperti Pak Samad dan politikus veteran Ariff Sabri, serta lain-lain yang boleh digerakkan secara strategik.

Ketika ditanya tentang soal ini, seorang dalam parti itu dengan segera mengatakan masih awal bagi DAP untuk bertanding di Johor secara sendiri, tanpa PKR dan parti pengganti PAS.

Tetapi dengan keputusan memberangsangkan pada PRU ke-13, serta pergolakan dalam Umno dan kepimpinan Johor di bawah timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin yang dilihat sedang bertembung dengan Najib, sabotaj dan pergaduhan dalaman boleh menyebabkan sedikit perubahan dalam senario politik.

Dan apabila tibanya saat itu - dalam satu atau dua PRU akan datang, tanpa PAS sebagai penghalang dan PKR yang lemah tanpa Anwar, ditambah pula dengan sayap ‘Melayu Malaysia’ yang telah matang, DAP mampu menang di Johor.

Ia tetap merupakan satu kemugkinan. Kemungkinan yang berjaya digerakkan oleh DAP ekoran ‘kesilapan langkah’ PAS. Ia adalah satu kemungkinan yang sekurang-kurangnya boleh dianggap munasabah dan tidak mustahil.

- See more at: http://bm.theantdaily.com

0 Komentar untuk "Adakah penyingkiran PAS sebahagian daripada rancangan ‘Impian MB Johor’ DAP? "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI