Drama PAS-PKR Boleh Kalahkan Wan Azizah - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Drama PAS-PKR Boleh Kalahkan Wan Azizah

PAS yang sebelum ini kelihatan tegas dan konsisten dengan sesuatu tindakan atau keputusan, kini kelihatan 'lembik' apabila  dua kali membuat 'pusingan U’ sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Daripada ugutan dan amaran keras untuk memboikot parti sekutunya berhubung hudud, PAS Kawasan Permatang Pauh dan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang akhirnya mudah untuk akur dan patuh dengan kepimpinan pusat untuk membantu kempen PKR.

Mungkin ramai beranggapan isu pokoknya sudah selesai dan jentera parti itu disemua peringkat akan digerakkan membantu Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon PKR.

Sepatutnya jalan cerita drama PAS-PKR menyaksikan ‘happy ending’ selepas parti Islam itu akur untuk membantu PKR walaupun terpaksa mengetepikan prinsipnya.

Tapi nampaknya jangkaan itu dilihat tidak berlaku diperingkat akar umbi. Situasinya umpama sebuah tasik yang jernih di permukaan tapi keruh di dasarnya.

Mungkin penulis silap jika membuat kesimpulan bahawa PAS memboikot PKR sedangkan beberapa kerat pemimpin besar parti itu hadir dalam satu dua aktiviiti ceramah di sekitar Permatang Pauh.

Mungkin juga tidak adil kepada PAS secara keseluruhannya jika dikatakan wujudnya protes senyap apabila kelibat Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; AJK PAS Pusat, Dr Hatta Ramli serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa turut menyertai kempen PKR.

Tapi mana perginya jentera akar umbi setempat? Sejak malam pengumuman calon PKR pada Jumaat lalu hingga hari pencalonan dan sehingga memasuki hari keenam berkempen, kelibat jentera setempat gagal dikesan.

Perlu diingat, kuasa memilih terletak di tangan penduduk setempat yang mendaftar sebagai pengundi dan bukannya milik pemimpin atasan.

Hudud

Jelas sekali Dr Wan Azizah tidak boleh memandang rendah mengenai isu hudud yang diperjuangkan PAS.

Pendirian PKR yang tetap tidak menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan akan mempengaruhi sokongan pengundi di Permatang Pauh khususnya di kubu kuat PAS iaitu Permatang Pasir.

Kerusi berkenaan sudah dimenangi PAS sejak 1999 sebelum wujudnya Pakatan Rakyat.

DUN Permatang Pasir mempunyai 22,815 pengundi. Pada PRU-13, Datuk Salleh Man menang bergaya di kerusi berkenaan dengan majoriti 6,826 undi.

Terdapat kira-kira 70 peratus pengundi Melayu terlibat dalam pilihan raya ini dan ia dilihat sebagai kelompok penentu kemenangan sama ada kepada BN mahupun PKR.

Namun bagaimana pengundi PAS akan mempengaruhi undi? Adakah mereka akan mengundi calon BN, Suhaimi Sabudin kerana marahkan PKR akibat menolak hudud?

Jawapannya tidak. PAS tidak akan mengundi BN. Tapi isu hudud adalah modal kempen yang berkesan kepada parti pemerintah itu untuk menghakis sokongan ahli PAS terhadap PKR.

Di sinilah kemampuan Dr Wan Azizah akan diuji khususnya bagi meyakinkan pengundi Melayu yang menyokokng PAS untuk memberi peluang kepadanya lagi menjadi wakil rakyat Permatang Pauh.

Pilih Kak Wan, gadai hudud.

Di peringkat bawah, di segenap pusat daerah mengundi (PDM) majoriti Melayu wujud perang psikologi yang kuat khususnya terhadap penyokong PAS.

Tanpa perlu menyentuh peribadi Dr Wan Azizah atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Wan mahupun kes liwat Anwar, perayu undi BN menggunakan hudud sebagai modal kempen.

Pengundi disogokkan dengan isu bertapa bahanya jika pengundi PAS yang mahu hudud dilaksanakan mengundi seorang calon dan parti yang menolak hukum Islam itu.

Telinga penulis turut mencuri dengar perbincangan kedai kopi yang menyebut: "Macam mana nak sokong Kak Wan kalau parti dia tolak hudud? Payah (sudah) ni"

Modus operandi ini menyebabkan jentera PKR berhadapan situasi sukar khususnya untuk memperbetulkan persepsi itu.

Lebih sukar apabila jentera PKR kali ini tidak disokong oleh pimpinan ulama PAS yang secara tidak langsung mempengaruhi penyokong parti itu.

Malah ada dikalangan penyokong PAS sendiri yang melihat perkembangan itu sebagai isyarat hala tuju PRK Permatang Pauh.

Untuk rekod, setakat ini tiada kelibat kumpulan pemimpin ulama PAS pada kempen PRK Permatang Pauh kali ini.

Sebaliknya mereka dilihat lebih berminat untuk menggempur kubu kuat BN yang jika tidak keterlaluan dikatakan kawasan yang sukar dimenangi PAS dalam PRK Rompin berbanding membantu parti sekutunya mempertahankan kerusi Permatang Pauh.

Kelabu dan hitam

Mungkin agak mustahil untuk pengundi PAS 'memangkah' Suhaimi, namun tidak mustahil juga isu hudud boleh membuatkan mereka langsung tidak keluar mengundi sebagai tanda protes.

Perkara ini yang dibimbangi jentera PKR. Keputusan pilihan raya lalu menunjukkan wujud perpecahan di kalangan undi kaum Melayu.

Masalah akan terus menghantui PKR jika pengundi Melayu yang selama ini menyokong mereka juga berpecah akibat isu hudud.

Di pihak BN, parti itu perlu memastikan pengundi dan penyokong tegar mereka keluar mengundi selain cuba meraih seramai mungkin golongan ‘atas pagar’ untuk 'memangkah' simbol dacing.

Jika dua langkah berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan, tidak mustahil kubu kuat PKR selama 16 itu berjaya dipecahkan.

Usaha Suhaimi menyusuri ‘kawasan hitam’ bagi BN di Permatang Pauh seperti di Sama Gagah, Cross Street serta beberapa PDM lain kini menjadi kebimbangan PKR.

Sambutan baik masyarakat setempat terhadap calon berusia 44 tahun itu dalam sesi walkabout tidak mustahil berjaya mengubah pola sokongan pengundi. Atau dalam sembang politiknya "Warna hitam boleh menjadi kelabu".

Berdasarkan rekod, BN pernah beberapa kali menggempur kerusi berkenaan khususnya pada 2004 apabila hampir mengalah Dr Wan Azizah yang menang tipis dengan majoriti 590 undi.

BN sekali lagi menghentak kubu PKR itu pada PRU-13 menerusi calonnya, Dr Mazlan Ismail yang berjaya mengurangkan majoriti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak hampir 4,000 undi berbanding 2008.

Anwar menang dengan majoriti 11,721 undi selepas mendapat 37,090 undi.

0 Komentar untuk "Drama PAS-PKR Boleh Kalahkan Wan Azizah"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI