FAKTA sejarah membuktikan bahawa Malaysia sebelum merdeka dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu. Masa sekolah rendah sekitar tahun 1957 setiap murid dimestikan melukis peta Tanah Melayu ala-ala jantung pisang atau dikenali sebagai Semenanjung Emas dalam mata pelajaran Ilmu Alam, kini Geografi.

Tujuannya bagi menanam minat murid sejak di darjah satu mencintai Tanah Melayu tanah tumpah dan tanah air yang kemudiannya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu dan 16 September 1963 dikenali Malaysia. Justeru, setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Tarikh 31 Ogos 1957 penting dan bermakna kepada semua rakyat Malaysia kerana tarikh ini menandakan negara kita mula bebas daripada penjajahan kuasa British. Reaksi pembentukan Persekutuan Malaysia. Persekutuan Tanah Melayu – menyambut baik gagasan Malaysia. Namun, terdapat perbezaan pendapat tentang cara pelaksanaannya.

Bagi Singapura, mengalu-alukan gagasan Persekutuan Malaysia. Sabah dan Sarawak menyokong gagasan Malaysia. Brunei pula menarik diri daripada menyertai Persekutuan Malaysia.

Gagasan Persekutuan Malaysia adalah cadangan untuk menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Sabah, dan Brunei dalam sebuah kerajaan persekutuan yang dinamakan Persekutuan Malaysia. Tetapi akhirnya Singapura keluar dari Malaysia dan Brunei mengundur serta tidak menyertai Malaysia untuk menentukan masa depan negara sendiri.

Idea pembentukan Persekutuan Malaysia bukanlah suatu yang baharu. Ura-ura untuk menggabungkan Tanah Melayu dengan wilayah British yang lain telah kedengaran sejak akhir kurun ke-19 lagi.

Gagasan tersebut telah dikemukakan dalam suatu majlis makan tengah hari Persatuan Wartawan Luar Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961. Dalam Majlis itu Tunku Abdul Rahman menyatakan: “… Lambat-laun Tanah Melayu harus bersefahaman dengan Britain dan rakyat-rakyat Singapura, Borneo Utara, Brunei, dan Sarawak. Adalah agak terlalu awal untuk saya menyebutkan cara bagaimana persefahaman itu dapat dicapai, namun tidak dapat dielakkan bagaimana kita perlu mencapai objektif ini dan memikirkan satu rancangan bagaimana wilayah-wilayah ini dapat dibawa kepada satu kerjasama politik dan ekonomi yang rapat.”

Kira-kira dua tahun kemudiannya, gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman ini telah dapat direalisasikan apabila Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.

Maka pada 16 September terbentuk Malaysia dengan penggabungan Sabah, Sarawak dan Singapura. Apabila nama Malaysia diberikan secara tidak langsung nama Melayu pada Persekutuan Tanah Melayu hilang dan secara beransur-ansur nama Melayu semakin hilang.

Justeru, Hari Malaysia pada 16 September mestilah disambut oleh semua rakyat dan kaum di negara ini bagi menyatakan rasa syukur atas kemerdekaan, keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati. Idea daripada kepimpinan  yang berwibawa ini menjadikan Malaysia terkenal di mata dunia.

Kejayaan Tunku Abdul Rahman menggabungkan beberapa buah negeri dalam sebuah persekutuan dengan kaedah diplomasi sukar dilakukan oleh pemimpin negara lain di dunia. Malah idea-idea penggabungan oleh pegawai tinggi British sebelumnya menemui kegagalan.

Pembentukan Persekutuan Malaysia telah mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, keseimbangan serta perpaduan kaum dan keharmonian sosial serta juga keselamatan dan kestabilan dalam kalangan penduduk di negeri-negeri di bawah Malaysia.

Inilah bukti sejarah yang harus difahami dan dimanfaatkan oleh kalangan generasi muda, terutama mereka yang lahir sebelum merdeka dan juga lahir sebelum Hari Malaysia pada 16 September 1963 bagi mengisi dan membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, aman, makmur dan stabil dari segi ekonomi serta keselamatan.