MENJADI wakil rakyat bukanlah perkara mudah. Senario politik di Malaysia pula dilihat semakin terbuka sejak PRU12. Namun begitu, bergaji besar dan berkedudukan tinggi bukanlah tiket selamat selamanya apabila kesan tindak tanduk wakil rakyat adalah di tangan rakyat.

Jatuh bangun seorang wakil rakyat itu pada dasarnya terletak pada pengundi dan rakyat yang menyokong. Sejak kebelakangan ini, ramai pemimpin dan wakil rakyat semakin lantang menyuarakan pendapat sehingga menimbulkan kontroversi.

Bagaimanapun, rakyat sekarang semakin bijak menilai pemimpin yang difikirkan bijak atau bercakap kosong. Meskipun kita mengamalkan kebebasan bersuara namun undang-undang di Malaysia ada batasnya.

Sejauh mana wakil rakyat itu diterima atau tidak selepas ini, ia bergantung kepada keperibadian mereka. Penganalisis berpendapat pemimpin jenis 'mulut laser' sebenarnya aset berharga parti

Walaupun pemimpin yang dilihat lantang bersuara ini kurang digemari ramai pihak, namun penganalisis melihat wakil rakyat yang disifatkan mulut lancang atau terlalu terbuka ini merupakan aset sebenar parti.

Ini kerana pemimpin seperti ini mendapat kepercayaan rakyat kerana mudah untuk melontarkan pandangan mengenai semua isu.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, walaupun wakil rakyat jenis ini tidak sayang mulut, namun pandangan mereka selalunya bernas.

"Saya ingin beri contoh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Beliau memang terlalu terbuka dalam semua isu, termasuk isu sensitif, tapi dengan kelancangan mulutnya juga yang mendapat kepercayaan warga Shah Alam selepas memenangi kerusi Parlimen Shah Alam dan dia bawakan isu yang rakyat dambakan di parlimen.

“Walaupun ada pandangannya yang tidak kena dan tidak disenangi parti, namun beliau adalah aset sebenar parti dan jika tidak mahu calonkan beliau dalam pilihan raya akan datang, ia adalah langkah kurang bijak kerana rakyat sudah percayakan beliau. Parti juga akan berasa teragak-agak sebenarnya untuk kehilangan wakil rakyat yang bermulut lancang ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, sifat tidak sayang mulut ini juga perlu ada di kalangan wakil rakyat walaupun ada sesetengah pihak tidak senang dengan kehadiran mereka dalam arena politik negara.

“Lebih baik jadi wakil rakyat yang terbuka dalam segala isu daripada jadi wakil rakyat yang sudah dipilih rakyat di kawasan itu, tetapi tidak membela rakyat, malahan hilang terus selepas dipilih. Ini kita tidak mahulah jadi, kan? Jadi wakil rakyat mesti bela penduduk setempat, bukan terus hilang lepas menang pilihan raya,” katanya.

Beliau juga berkata, selepas mendapat kepercayaan rakyat, agak sukar untuk rakyat berpaling tadah kecuali berlaku krisis dalam parti yang menyebabkan rakyat hilang percaya terhadap sesebuah parti politik.

“Jadi agak sukar untuk sesebuah parti itu senang-senang saja membuang wakil rakyat yang berjasa kepada penduduk setempat kerana kepercayaan terletak pada tangan rakyat. Kalau letak orang lain jadi wakil rakyat nanti susah pada parti juga,” katanya.