KUALA LUMPUR - Pada ketika ini isu pertukaran Menteri Besar Selangor menjadi topik dominan khususnya di kalangan rakyat negeri itu yang menyaksikan penuh minat apakah kesudahan 'drama' yang dimainkan pakatan PKR-DAP-Pas.

Saban hari, krisis kepimpinan dan politik di Selangor menjadi tajuk utama muka hadapan akhbar harian serta portal berita mutakhir ini.
  
Ada yang menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana menyenangi kepimpinan beliau menerajui kerajaan Selangor, tetapi tidak kurang juga yang ingin mencuba suatu kelainan iaitu menyokong Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, jika menjadi realiti akan mencatat sejarah sebagai Menteri Besar wanita pertama di Malaysia.

Siapa pun Menteri Besar, individu itu mestilah mendapat sokongan penuh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
  
Pelbagai masalah timbul
  
Sejak Selangor ditadbir Parti Keadilan Rakyat (PKR), pelbagai isu timbul seperti masalah bekalan air, kutipan sampah, rampasan Bible berbahasa Melayu, cadangan memansuhkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kemelut Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta sengaja mencipta pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang, Mac lepas.

Belum pun isu-isu itu diselesaikan, kini muncul pula isu baharu iaitu pertukaran Menteri Besar yang meresahkan rakyat, sekaligus memungkinkan pilihan raya negeri diadakan jika penyelesaian secara baik tidak dicapai.
  
Gabungan longgar PKR-DAP-Pas sering melaungkan bahawa mereka adalah pakatan harapan rakyat, namun persoalannya apakah perlu rakyat menaruh harapan lagi kepada pakatan selepas pelbagai masalah yang timbul?
  
Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata krisis politik yang dimulakan oleh PKR ini mewujudkan krisis keyakinan rakyat kepada kredibiliti kepimpinan parti itu.
  
"Ramai yang percaya isu pertukaran Menteri Besar ini boleh dilaksanakan dengan baik tetapi ia telah berlaku sebaliknya. Ini memperlihatkan kegagalan PKR dalam menguruskan kemelut dalaman parti dengan baik," katanya kepada Bernama.
      
PKR jadi abang sulung 
  
Kemelut pertukaran Menteri Besar menyaksikan seolah-olah PKR cuba 'memaksa' rakan sekutunya menerima apa yang ditentukan parti itu.
  
Pada Rabu, Adun Sri Andalas Dr Xavier Jeyakumar daripada PKR dilapor berkata parti itu berhak membuat keputusan siapa yang layak menjadi Menteri Besar Selangor berdasarkan persetujuan di peringkat pakatan bahawa jawatan itu milik PKR, manakala di Kelantan diputuskan Pas dan Pulau Pinang oleh DAP.
  
Persoalannya, sejauh mana utuhnya kerjasama politik dan permuafakatan pakatan pembangkang dalam soal pemilihan Menteri Besar Selangor yang baharu?
  
Membicarakan soal pertukaran Menteri Besar Selangor, Mohd Izani berkata PKR dilihat cuba menjadi 'big brother' (abang sulung) manakala Pas pula cuba memainkan peranannya sebagai 'equal partner' (rakan kongsi yang setara).
  
"Saya berkata begini kerana jika dilihat majoriti kerusi yang dimiliki Pas, PKR dan DAP. Di Pulau Pinang, DAP yang memiliki lebih banyak kerusi, manakala di Kelantan, Pas yang punyai kerusi banyak manakala dalam kes Selangor, PAS dan DAP mempunyai jumlah kerusi yang sama iaitu 15 kerusi manakala PKR 14 kerusi.
  
"Tetapi atas dasar equal partner, Pas tidak mencadangkan pemimpin daripada parti itu untuk menerajui Selangor meskipun mereka mempunyai lebih kerusi daripada PKR. Tetapi ini tidak berlaku dan PKR dilihat cuba menjadi big brother," katanya.
   
Pada PRU13 Mei tahun lepas, pakatan DAP-Pas-PKR memenangi 44 daripada 56 kerusi Dun Selangor berbanding 36 pada 2008 dengan PKR menang 14 kerusi, manakala Pas dan DAP masing-masing menang 15 kerusi. BN hanya memperoleh 12 kerusi.
  
Tiada pemimpin hebat    
  
Ada sesetengah pihak juga melihat tuduhan yang dikenakan kepada Abdul Khalid mempamerkan kegagalan PKR untuk melahirkan pemimpin yang mampu mengurus tadbir negeri dengan baik.
  
Namun bagi Mohd Izani, segala dakwaan yang dilemparkan kepada Abdul Khalid merupakan langkah kurang bijak kerana ia bukan sahaja memberi impak negatif kepada Menteri Besar Selangor itu sendiri, bahkan juga PKR.
  
"Mereka (PKR) yang meletakkan harapan kepada Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor dan kini mereka sendiri yang cuba menjatuhkannya. Saya melihat di dalam PKR tiada pemimpin yang hebat. Saya sukar bayangkan siapa yang akan terajui Selangor sekiranya Abdul Khalid disingkirkan.
  
"Satu perkara yang patut kita terima dengan baik berkenaan Abdul Khalid ialah beliau seorang yang bertaraf Menteri Besar dan ahli parti yang biasa dan boleh deliver mengikut kehendak rakyat.
  
"Berbanding dengan Pas contohnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu, beliau bukan sahaja Menteri Besar Kelantan tetapi juga memegang jawatan tinggi dalam parti iaitu Mursyidul Am, begitu juga Lim Guan Eng bukan sahaja Ketua Menteri Pulau Pinang tetapi juga Setiausaha Agung DAP. Tetapi Abdul Khalid tidak ada jawatan penting dalam parti dan ini memudahkan beliau dimanipulasi memandangkan beliau tiada pengaruh dalam parti," katanya.
  
Tidak menyelesaikan permasalah rakyat
  
Sekalipun Dun Selangor tidak lagi memberi kepercayaan kepada Abdul Khalid untuk terus memimpin negeri itu dan diganti dengan Menteri Besar yang baharu, ia tidak mungkin dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini.
  
Abdul Khalid sanggup membelakangkan parti demi kesejahteraan rakyat Selangor dengan menjalinkan hubungan baik bersama kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN).
  
Mohd Izani berkata permasalahan rakyat seperti air akan terus berlaku apabila berlaku pertukaran kepimpinan dan jika Menteri Besar yang baharu lebih banyak berpolitik daripada berkhidmat untuk rakyat.
  
"Saya khuatir jika Menteri Besar yang baharu ini mempunyai sikap politiking keterlaluan yang memboleh menjejaskan hubungan baik kerajaan negeri bersama kerajaan pusat yang dibina oleh Abdul Khalid.
  
"Akhirnya yang menjadi mangsa ialah rakyat Selangor dan ini adalah suatu perkara yang perlu dipandang serius. Masalah akan menjadi lebih rumit dan tidak akan selesai. Abdul Khalid bagi saya adalah seorang pemimpin yang melihat kepentingan rakyat melangkaui politik," katanya.
  
Pergolakan PKR Selangor bermula apabila Adun Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali digugurkan daripada senarai ahli lembaga pengarah PKNS yang didakwa merupakan perancangan kem Abdul Khalid untuk mengurangkan pengaruh timbalan presiden PKR itu dalam pemilihan parti.
  
Kemelut yang merebak menjadi polemik perebutan kerusi Menteri Besar diburukkan lagi dengan 'Langkah Kajang' yang dimulakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, bertujuan menjadikan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
  
Hasrat Anwar terbantut setelah gagal menjadi calon kerusi Dun Kajang akibat kes mahkamah dihadapinya, lalu Dr Wan Azizah dipertaruhkan untuk kerusi berkenaan dan menang dengan majoriti undi merosot.
  
Anwar kemudian mahu Dr Wan Azizah diletakkan sebagai Menteri Besar baharu sambil disokong DAP. Bagaimanapun, rakan sekutu mereka, Pas, tidak bersetuju dengan cadangan itu dan menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Abdul Khalid. - Bernama