KUALA LUMPUR - Titah Sultan Selangor yang mahukan PR mengemukakan lebih banyak nama calon menteri besar dilihat oleh penganalisis politik seolah-olah kerusi nombor satu di Selangor itu semakin jauh dari capaian Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sehubungan itu, PR perlu membaca perkembangan itu sebagai suatu isyarat tersirat berhubung jawatan yang menghangatkan landskap politik tanah air khususnya di Selangor itu.
Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan berkata daripada titah itu, PKR perlu meneliti semula pelan asal yang mahu menobatkan Dr Wan Azizah sebagai ketua eksekutif di negeri yang terkaya di negara ini.
Sekiranya PKR enggan berganjak daripada pelan asal mereka, kemungkinan  parti itu perlu berhadapan dengan cabaran yang lebih getir iaitu pembubaran Dewan Undangan Negeri untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri.
Sultan Selangor hari ini menitahkan Pas, PKR dan DAP masing-masing mengemukakan lebih dua nama calon menteri besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
"Berdasarkan titah itu, kita mungkin melihat pelan B daripada PR. Jika mereka bertegas dengan calon asal (Wan Azizah), Sultan mungkin menitahkan pilihan raya negeri dan adakah berbaloi untuk mereka mengambil risiko itu dalam keadaan rakyat jemu dengan krisis berpanjangan ini?," katanya kepada Bernama hari ini.
Azmi juga tidak menolak kemungkinan Menteri Besar Selangor yang baharu datang daripada Pas, memandangkan parti itu kini 'terpaksa' menamakan lebih dua calon, meskipun mempunyai 'perjanjian gentleman' dalam PR, supaya kerusi nombor satu negeri itu diberikan kepada PKR.
Ditanya sama ada pelantikan menteri besar daripada Pas akan 'meretakkan' hubungan Pas-PKR yang semakin rapuh ekoran krisis kerusi MB, Azmi menjelaskan bahawa PKR seharusnya bertindak matang dan terbuka dalam menerima titah Sultan.
"Pas tidak melanggar 'gentleman agreement' kerana ia adalah titah Sultan untuk setiap parti itu menamakan lebih dua calon dan tidak ada salahnya jika seorang MB dilantik daripada parti itu.
"PKR juga kena terima kerana mereka perlu ingat bahawa rancangan menyingkirkan Abdul Khalid bermula daripada Langkah Kajang yang kini bukan sahaja gagal, namun nampaknya telah memakan diri," katanya.
 
Azmi juga tidak menyifatkan tindakan Abdul Khalid ingin meletakkan jawatansebagai mengalah, namun melihatnya sebagai tindakan terpuji yang 'mengenepikan ego demi kelangsungan pentadbiran Selangor dan kepentingan rakyat'.
  
Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata Abdul Khalid adalah 'mangsa politik' kerana tidak disabitkan kesalahan yang menyebabkan MB hilang kelayakan selain pemecatannya daripada mengangggotai parti juga masih belum 'sahih mengikut undang-undang'.
  
Beliau juga berpendapat krisis ini mungkin akan menyebabkan Abdul Khalid 'hilang minat dan keyakinan' terhadap politik, memandangkan beliau menghadapi 'episod gelap' dalam karier politiknya.
  
"Kita maklum Abdul Khalid jadi MB kerana mahu berkhidmat kepada masyarakat dan insiden ini mungkin akan menyebabkan beliau terkilan atau tidak berpuas hati kerana apa yang diimpikan beliau tidak boleh dilaksanakan akibat campur tangan pihak lain," katanya.
  
Ditanya sama ada kemelut kerusi MB Selangor akan selesai dalam tempoh terdekat dengan titah Sultan meminta lebih dua nama masing-masing daripada Pas, PKR dan DAP, Ahmad Marthada secara peribadi berpendapat krisis itu tidak akan selesai sepenuhnya.

"Sesetengah pihak nampak ia satu isyarat Sultan seolah-olah tidak mahu Wan Azizah, sedangkan PKR begitu mendesak. Jadi saya berasakan akan berlaku krisis antara Pas dan sekutunya PKR, apatah lagi PAS masih berdolak-dalik mengenai sokongan kepada Wan Azizah," katanya.
  
Sementara itu, penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar berkata PR perlu sedar mereka tidak boleh terlalu bertegas mahu Wan Azizah menjawat jawatan menteri besar kerana Sultan berada di kedudukan yang lebih tinggi dalam tradisi pelantikan MB di negara ini.
  
"Kita perlu ingat bahawa penolakan calon sebagai MB pernah berlaku di Malaysia pada 2008 di Terengganu apabila nama yang dicalonkan parti politik tidak dipersetujui Sultan, yang terus melantik individu lain sebagai MB," katanya.
  
Justeru itu, Chandra melihat Sultan Selangor masih lagi bertoleransi dalam kemelut ini dan usaha itu seharusnya dihargai agar kepercayaan itu terus ada agar urusan pentadbiran berjalan lancar. - Bernama