KELIMA, sekiranya Splash mengambil tindakan mahkamah menyaman kerajaan negeri dan mahkamah bersetuju dengan tuntutan Splash, kerajaan negeri boleh diarahkan membayar pampasan tambahan kepada Splash. Ini akan mengakibatkan kos pengambilalihan industri air yang lebih tinggi bagi kerajaan negeri.

Jawapan: Sememangnya Splash atau mana-mana syarikat konsesi boleh membawa ke peringkat timbang tara antarabangsa untuk menyelesaikan pertikaian mengenai harga tawaran.

Namun, diyakini kos pengambilalihan keseluruhan tidak akan melebihi RM9.65 bilion kerana kaedah penilaian berdasarkan pulangan ekuiti tahunan 12% adalah jauh lebih lumayan berbanding piawaian antarabangsa pada kadar 8% sahaja.

Syarikat konsesi juga dijangka sangat keberatan membawa ke mahkamah atau timbang tara antarabangsa kerana semua terma dan syarat Perjanjian Konsesi akan didedahkan kepada umum.

KEENAM, tarif air didakwa akan naik mendadak dalam menghampiri Pilihan Raya Umum Ke-14 akibat MoU dan HoA.

Ketika HoA 1 Ogos lalu, tarif air di Lembah Klang diberi jaminan tidak akan dinaikkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun akan datang sekiranya industri air Selangor dapat di struktur semula dengan jayanya; walaupun kita mesti menerima hakikat pada masa hadapan, kenaikan tarif air tidak dapat dielakkan tetapi pada kadar yang sangat munasabah, tidak membebankan dan dalam tempoh senggang yang panjang demi perkhidmatan air bertaraf  antarabangsa tanpa gangguan pada harga berpatutan.

Kejayaan menyusun semula industri air dapat menyingkir ketidakcekapan operasi, teknikal dan kewangan di bawah model konsesi seperti peluang membuat keuntungan melampau pada pelbagai peringkat, menurunkan kadar perkhidmatan pukal penukaran air (memproses air mentah kepada air terawat) atau Bulk Supply Rates (BSR) yang terlalu tinggi dengan pulangan 35% bagi sesetengah syarikat konsesi kepada paras munasabah 6-7% dan meningkatkan kualiti perkhidmatan air secara keseluruhan.

Pengguna bernasib kerana tidak dibebankan kenaikan tarif air sejak 2006 di mana tanpa penolakan oleh kerajaan negeri kenaikan tarif berjadual bagi Syabas seperti yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi bermula tahun 2009, tarif air pengguna sepatutnya sudah naik sebanyak 82%.

Selaras dengan semangat dan hasrat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006), penstrukturan semula air sepatutnya menyaksikan:

•     pemindahan semua aset berkaitan air kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) kerana PAAB akan “membiayai kos modal membina aset air baharu, membaik pulih dan menaik taraf aset air sedia ada”.

•     pajakan semula semua aset air kepada pengendali perkhidmatan air negeri (selalunya anak syarikat kerajaan negeri) dengan sewa pajakan akan ditentukan secara sepakat antara kerajaan negeri dan PAAB .

Dengan kesepakatan bersama sebagai asas, kerajaan negeri mempunyai kuasa menentukan kadar sewa pajakan yang perlu dibayar kepada PAAB sebagaimana yang kita saksikan di negeri-negeri yang telah berjaya menyusun semula industri air mereka.

Memandangkan pembangunan Langat 2 projek persekutuan, kerajaan negeri sudah tentu tidak akan dipertanggungjawabkan menanggung kos keseluruhan projek.

Pada hemat saya, terdapat dua “benteng” utama yang mampu melindungi hak dan kepentingan rakyat Selangor secara khususnya dan Lembah Klang secara amnya terutama dalam aspek tarif air:

•    Meskipun kita tidak menolak kemungkinan kadar sewa pajakan PAAB dinaikkan kelak, selagi mana kerajaan berpaksikan rakyat menguasai pentadbiran Selangor, tarif air tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya kerana penetapan tarif air kekal di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

•     Sebagai bakal pemegang saham dalam Water SPV, rakyat Selangor yang layak boleh menggunapakai hak bersuara menghalang sebarang tindakan atau dasar yang dianggap merugikan.