SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu membubarkan Dun Selangor memandangkan beliau memiliki sokongan teguh daripada sebahagian pemimpin PKR, DAP dan BN, selain sokongan Pas serta istana.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, walaupun PKR dan DAP berhasrat menggulingkan Abdul Khalid daripada terus memegang jawatan nombor satu Selangor, namun mereka tidak mampu berbuat demikian kerana sokongan kuat ini.

“Walaupun kedua-dua komponen (PKR dan DAP) tak mahukan Abdul Khalid tapi mereka tidak mampu singkirkan beliau begitu sahaja. Sokongan Pas, istana dan juga sebahagian PKR dan DAP masih memihak kepada kepimpinan Abdul Khalid, bukan semua tolak,” katanya, semalam.

Beliau turut menjelaskan, perebutan kerusi Menteri Besar Selangor telah menjadi punca merebaknya percakaran dalaman antara Pas dan PKR sehingga memberi gambaran berlaku kepincangan dalam pakatan pembangkang.

“Sekarang isu dipindahkan kepada PKR dan Pas dan kemelut ini membuka ruang lebih luas kepada Abdul Khalid.

“Media sosial kebelakangan ini juga menampakkan bagaimana masing-masing cuba mempertahankan kapten mereka, PKR dengan Anwar Ibrahim manakala Pas dengan Hadi Awang dan juga Nik Aziz,” katanya.

Ketika ditanya kesan kepada nasib Menteri Besar Selangor itu jika isu ini terus berlarutan, Sivamurugan berkata, buat masa ini posisi Abdul Khalid masih berada di tahap selamat.

“Sokongan padu daripada Hadi dan Nik Aziz memberikan talian hayat baharu kepada Abdul Khalid. Bahkan hubungan mesra antara menteri besar dan istana juga suatu kelebihan.

“Saya rasa jika PKR melihat kesan pasca menteri besar baru mereka pasti memilih untuk kekalkan kepimpinan sedia ada. Sekarang ini juga keretakan dalam krisis komponen PR juga kian runcing,” katanya.