Abu Bakar Abdullah
Abu Bakar Abdullah
KUALA TERENGGANU - Penggulingan kuasa kedua yang berlaku di Mesir disifatkan tragedi malang terhadap umat Islam, bukan sahaja di Mesir, malah di seluruh negara.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah melahirkan rasa dukacita terhadap perkembangan berlaku di negara itu berkata, penyingkiran Dr Mohamed Mursi sebagai Presiden tidak akan menyelesaikan segala-galanya, malah bakal mengundang pergolakan yang lebih parah.

Menurutnya, ia juga kerugian bagi umat Islam lebih-lebih lagi campur tangan Barat dalam politik Mesir dilihat sebagai cubaan untuk mengecilkan kuasa Islam di peta dunia, dan lebih jelas lagi apabila Ketua Mahkamah Agung, Adly Mansour yang juga beragama Kristian dilantik sebagai ‘presiden baru sementara’.

“Pemilihan Mursi berdasarkan kehendak rakyat. Beliau mendapat majoriti rakyat dan beliau adalah presiden yang sah. Tidak sepatutnya golongan tidak berpuas hati membuat kekacauan sehingga tentera mengambil alih kuasa,” katanya.

Beliau percaya, keamanan gagal dipulihkan dengan situasi baru yang berlaku kerana penggulingan Mursi seolah-olah menafikan suara dan pilihan rakyat.

“Sepatutnya semua bekerjasama membangunkan Mesir yang merupakan negara dalam perhatian dunia barat. Kejayaan Ikhwanul Muslimin pada pilihan raya umum lalu telah beri keuntungan kepada umat Islam dan demokrasi di sana,” katanya.

Mursi, pemimpin berjiwa rakyat dan juga seorang hafiz diangkat sebagai Presiden Mesir melalui pilihan raya bebas pertama dalam sejarah negara itu, akhirnya digulingkan dalam rampasan kuasa kedua di Mesir, 3 Julai lalu.

Tarikh itu genap setahun beliau dipilih sebagai Presiden, 30 Jun tahun lalu, selepas protes besar-besaran rakyat menggulingkan Hosni Mubarak yang memimpin Mesir secara kuku besi selama 30 tahun pada Februari 2011.

Mursi menerima undi 13.2 juta iaitu 51 peratus undian semasa pilihan raya tahun lalu menewaskan pesaingnya, Ahmed Shafik yang juga perdana menteri era pemerintahan Mubarak.