Persempadanan semula ,adilkah SPR ? - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Persempadanan semula ,adilkah SPR ?

http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=27136

Oleh Mohammad Agus Yusoff
Tahun ini SPR akan mempersempadankan semula kawasan pilihan raya yang tertangguh sejak tahun 2012. Tujuan persempadanan semula ini adalah untuk menambahkan bilangan kerusi parlimen dari 222 kepada satu angka baru. Namun, pertambahan kerusi ini sukar dilakukan kerana ia melibatkan pindaan kepada Perkara 46 Perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan.


Tetapi jika sekadar hendak mempersempadankan semula kawasan pilihan raya tanpa pertambahan kerusi, maka cukup sekadar sokongan majoriti mudah sahaja (Seksyen 9 Jadual 13). Persoalannya, apakah SPR hanya akan mempersempadankan semula kawasan pilihan raya tanpa pertambahan kerusi baru atau akan membuat penambahan kerusi dari 222 kepada satu angka baru?

Jika SPR mahu mempersempadankan semula kawasan pilihan raya seperti tuntutan Perkara 113(2) Perlembagaan, sama ada dengan atau tanpa pertambahan kerusi, maka SPR perlu memberi perhatian kepada aspek berikut.

i. Sebelum pindaan tahun 1973, beza pengundi bagi setiap kawasan parlimen yang dibenarkan adalah 5% bagi kawasan bandar dan 15% antara kawasan bandar dan luar bandar. Selepas itu, perbezaan pengundi yang dibenarkan bagi setiap kawasan pilihan raya ialah sebanyak 33%. Pada hari ini, peruntukan tentang varian perbezaan yang dibenarkan ini sudah tidak ada lagi. Oleh sebab itulah, pada hari ini perbezaan antara kawasan Putrajaya 15,000 (terkecil) dan Kapar 150,000 (terbesar) ialah sehingga 900%. Ini menunjukkan satu pengundi di Putrajaya adalah bersamaan dengan 10 pengundi di Kapar. Perlukah SPR mengekalkan jurang perbezaan sebanyak ini?

ii. SPR perlu melihat kepada ketidakseimbangan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Dengan hanya 1/6 daripada jumlah pengundi, Sabah dan Sarawak mendapat 25% daripada kerusi parlimen, iaitu 56 daripada 222 kerusi.

Akibat dari pembahagian kawasan parlimen yang tidak seimbang ini, maka keputusan PRU ke-13 yang lepas menunjukkan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.

i. BN memenangi 112 kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan dengan hanya 20 peratus daripada jumlah pengundi.

ii. BN mendapat undi popular sebanyak 47% sahaja, tetapi mendapat 60% kerusi parlimen. Ini menunjukkan PR perlu memenangi 1.7 undi berbanding BN 1 undi untuk memenangi kerusi pilihan raya.

iii. Calon DAP, Teresa Kok dan Tony Pua memenangi undi majoriti yang jauh lebih besar daripada 31 kerusi yang memenangi majoriti di bawah 3000 undi dalam PRU yang lalu. Jumlah undi majoriti bagi 31 kerusi tersebut ialah 43,079 berbanding dengan undi majoriti Teresa 51,552 di Seputeh and Tony Pua 44,672 di Petaling Jaya Utara.

iv. Majoriti pengundi bandar mengundi PR, manakala pengundi luar bandar yang bilangan pengundinya sedikit mengundi BN.

v. Persempadanan sebelum ini juga merugikan orang Melayu. Misalnya, Baling yang majoriti pengundinya adalah Melayu mempunyai pengundi seramai 93,376 orang berbanding Alor Setar, kawasan campuran yang mempunyai 69,189 pengundi.

Data di atas tentunya menimbulkan sentimen kita kepada SPR. SPR akan dituduh sebagai tidak adil kepada pembangkang dan akan membuat gerrymandering dalam mempersempadankan semula kawasan pilihan raya untuk memastikan BN dapat terus kekal berkuasa (konsep gerrymandering ini akan saya tulis dalam posting yang lain).

Apapun sentimen kita kepada persempadanan semula kawasan pilihan raya dan integriti SPR ini, perlu dinyatakan ketidakseimbangan jumlah pengundi bagi setiap kawasan pilihan raya sekarang ini adalah selari dengan peruntukan dalam Perjanjian Kemerdekaan, iaitu persempadanan semula kawasan pilihan raya hendaklah memberi kelebihan kepada kawasan luar bandar.

Bagi Sabah dan Sarawak pula, pembahagian yang ada sekarang ini juga adalah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 di mana Sabah, Sarawak dan Singapura telah dipersetujui akan diperuntukkan 34% kerusi parlimen.

Dengan pengetahuan sebegitu, apakah SPR bersalah dan tidak dalam menjalankan tugasnya? Adil atau tidak adalah tanggapan kita. Cuma pada saya, apa yang ingin saya mimta daripada SPR dalam persempadanan semula ini hanya sahaja: supaya SPR menambahkan kerusi parlimen dalam persempadanan semula ini supaya setiap kawasan — sama ada bandar atau luar bandar boleh cepat maju sebab wakil rakyat tentunya akan berebut membangunkan kawasan masing-masing.

Dalam merealisasikan hal ini, semoganya kerajaan BN dan PR dapat bekerjasama dalam meluluskan pindaan kepada Perkara 46 Perlembagaan. YB, lakukan ini demi rakyat dan negara
0 Komentar untuk "Persempadanan semula ,adilkah SPR ?"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI