Perlembagaan Persekutuan: Malaysia Bukan Negara Sekular - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Perlembagaan Persekutuan: Malaysia Bukan Negara Sekular

https://www.facebook.com/mohamedazam.mohamedadil


Artikel saya Malaysia Bukan Neagara Sekular yang disiarkan dalam Utusan Malaysia 27 Okt 2012 terlalu banyak diedit. Disertakan artikel asal.

Perlembagaan Persekutuan: Malaysia Bukan Negara Sekular

Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil
B. Shariah (Hons) (Malaya), LL.M, PhD (SOAS, London)
Centre for Islamic Thought and Understanding (CITU)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam
(mazamadil@hotmail.com, mazamadil@salam.uitm.edu.my)

1. Pengenalan

Persoalan adakah Malaysia sebuah negara sekular sering dibahaskan. Terkini pada 22 Oktober 2012 Dato’ Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis di Parlimen menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Pendirian ini bukanlah kali pertama dibuat. Pernah Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri menepis pandangan bahawa Malaysia adalah negara sekular. Beliau menegaskan bahawa Malaysia juga bukanlah sebuah negara teokratik tetapi berpegang kepada prinsip kerajaan demokrasi berparlimen (Parliamentary democracy). Perdana Menteri juga mahu supaya polemik perdebatan sama ada Malaysia sebuah negara sekular atau Islam dihentikan. Ini kerana, ia tidak akan membawa kepada sebarang faedah kepada rakyat. Malah, ia mungkin boleh membawa kepada pergaduhan sehingga membawa kepada kebencian kepada sesuatu agama dan bangsa.

Malah pada 17 Julai 2008, Dato’ Seri Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) menyangkal dakwaan oleh seorang wartawan asing bahawa Malaysia sebuah negara sekular. Parti-parti pembangkang sama dari DAP atau PAS enggan menganggap Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Malah terdapat sesetengah ahli politik seperti Dato’ Zaid Ibrahim (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri) menyokong pandangan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular kalau dilihat dari perspektif Perlembagaan Persekutuan. Labih-lebih lagi melihat kepada laporan oleh Suruhanjaya Reid itu sendiri.

Mungkin kerana peruntukan dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan “Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu” membawa kepada kefahaman sedemikian rupa. Apakah dengan peruntukan sedemikian menafikan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam dan meletakkannya sebagai sekular? Menurut Prof. Abdul Aziz Bari, apabila mentafsirkan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan, ia tidak boleh ditafsirkan secara sempit dan berasingan dari peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan itu sendiri.

Hujah yang menyatakan bahawa Malaysia sebuah negera sekular adalah kurang tepat. Ini kerana, terdapat banyak peruntukan lain dalam Perlembagaan itu yang memberi keistimewaan kepada agama Islam. Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 12(2) yang membenarkan kerajaan membelanjakan duit negara bagi pembangunan agama Islam, menunjukkan bahawa Malaysia bukan negara sekular. Lagipun perkataan sekular tidak wujud dalam Perlembagaan itu sendiri.

Dari sudut sejarah, Tanah Melayu telah dianggap oleh ahli-ahli sejarah sebagai sebuah negara Islam melihat kepada undang-undang yang dilaksanakan semasa itu. Sebelum kedatangan penjajah Belanda dan British, undang-undang yang terpakai adalah meliputi undang-undang Islam dan adat. Hukum Kanun Melaka sebagai undang-undang pokok telah mempengaruhi undang-undang di negeri lain, yang banyak mengandungi peraturan dan hukuman yang berlandaskan agama Islam dan adat Melayu. Kedatangan Belanda di Melaka dan seterusnya menjajahi seluruh Tanah Melayu tidak sedikit pun memberi kesan kepada aspek undang-undang yang terpakai semasa itu. Hanya dengan kedatangan British, undang-undang Islam sedikit demi sedikit telah diketepikan dan diganti dengan undang-undang Inggeris. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan tanggal 31 Ogos 1957, tiada satu perisytiharan dibuat mengatakan bahawa negara ini adalah negara Islam. Perisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam hanyalah dibuat 44 tahun kemudian oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 29 September 2001.

2. Kemasukan Perkataan ’Islam’ dalam Suruhanjaya Reid

Sebenarnya, Perlembagaan Persekutuan yang kita miliki sekarang digubal oleh satu Suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid. Suruhanjaya ini diketuai oleh Lord Reid dari United Kingdom dengan ahli-ahli lain terdiri dari Sir Iver Jeannings dari United Kingdom, Justice Abdul Hamid dari Pakistan, Sir William McKell dari Australia dan B Malik dari India.

Pada asalnya, peruntukan Islam sebagai agama negara tidak terdapat dalam deraf awal Perelembagaan. Hanya Justice Abdul Hamid dari Pakistan membangkitkan persoalan itu dalam lampiran laporan Suruhanjaya itu. Selepas dari itu, Parti Perikatan mencadangkan supaya satu peruntukan mengenai agama Islam sebagai agama Persekutuan dimasukkan dalam perlembagaan tanpa sedikit pun menyisihkan hak bukan Islam dalam menganut, mengamal dan menyebar agama mereka. Memang benar Suruhanjaya ini ada menyatakan bahawa peruntukan ini tidak sama sekali mengenepikan status Malaysia sebagai sebuah negara sekular tetapi ia sama sekali tidak wujud dalam deraf akhir perlembagan itu sendiri. Pihak Raja-raja pada awalnya agak keberatan menerima peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, bimbang baki kuasa yang ada dalam tangan mereka iaitu agama Islam dan adat Melayu akan diserahkan kepada kerajaan pusat. Akhirnya, setelah pihak Perikatan meyakinkan kedudukan sebenar, Raja-raja Melayu telah bersetuju menerima kemasukan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan dengan itu, Kertas Putih telah dikeluarkan bagi maksud itu. Justeru, Perkara 3(1) menyatakan “Ugama Islam adalah ugama bagi Persukutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagaian Persekutuan”. Peruntukan seperti ini diberi penekanan sekali lagi dalam Perkara 11(1) yang berbunyi “tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya”. Dengan adanya dua peruntukan penting ini, Perlembagaan memberi jaminan hak kebebasan beragama kepada kepada semua penganut agama. Tetapi, kebebasan beragama tidaklah bersifat mutlak. Sebagai contohnya, dalam fasal (4) Perkara 11 memberi kuasa kepada Parlimen dan Badan-badan Perundangan Negeri menggubal undang-undang pengawalan agama bukan Islam kepada orang Islam. Di samping itu, Perkara 11 (5) meletakkan syarat bahawa kebebasan itu tidak menyalahi ketenteraman awam, kesihatan awam dan akhlak.

3. Perkara 3(1) Dan Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan

Walaupun Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama ada menjelaskan dalam satu sesi Parlimen bahawa negara ini bukanlah sebuah negara Islam dan peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah untuk tujuan rasmi negara, itu hanyalah pandangan peribadi beliau. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan itu sendiri tidak sama sekali menyebut negara ini sebagai negara sekular. Malah peruntukan ugama Islam sebagai agama Persekutuan lebih memihak bagi mereka yang mengatakan bahawa Malaysia sebuah negara Islam.

Mungkin ada sesetengah peguam dan pengamal undang-undang yang mengatakan bahawa kes Che Omar Che Soh lwn Pendakwa Raya [1988] 2 MLJ 55 mengiyakan bahawa Malaysia bukan negara Islam dan ini mengesahkan bahawa negara ini adalah negara sekular. Ini kerana YAA Hakim Tuan Salleh Abbas (ketika itu) berpendapat bahawa ugama Islam bukanlah hanya semata-mata peribadatan khusus tetapi meliputi satu cara hidup yang merangkumi pelbagai aktiviti kehidupan sama ada dalam bentuk individu mahupun kemasyarakatan seperti undang-undang, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, moral dan kehakiman, namun peruntukan Perkara 3(1) hanyalah bersifat peribadatan dan upacara rasmi sahaja. Tetapi menurut Prof. Dr.Aziz Bari, keputusan kes ini sebenarnya tidak mencerminkan kedudukan sebenar Islam seperti mana yang dibuat dalam Laporan Suruhanjaya Reid dan Kertas Putih. Keputusan Che Omar tidak boleh sama sekali mempertikaikan perihal kesahihan undang-undang. Ia hanyalah menghadkan amalan agama Islam seperti mana yang termaktub. Keputusan kes ini tidak sama sekali merendahkan kedudukan ugama Islam itu sendiri. Ini kerana perayu mempertikaikan sama ada undang-undang yang wujud dalam negara ini, dalam hal ini hukuman gantung mandatori bagi kesalahan mengedar dadah adalah bercanggah dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, justeru undang-undang Islam tidak menghukum orang yang mengedar dadah dengan hukuman mati.

Mungkin kerana tiada peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa negara ini adalah negara Islam mengundang perdebatan sekarang, malah ia telah lama dibangkitkan semenjak dari zaman Almarhum Tunku lagi. Mungkin kerana ketiadaan peruntukan khusus ini jugalah yang menyebabkan DAP dan PAS mempertikaikan persytiharan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 2001. Tetapi tidak juga tepat bagi mereka yang mengatakan bahawa Malaysia sebuah negara sekular dengan peruntukan-peruntukan lain yang memberi kedudukan istimewa kepada agama Islam.

Kedudukan Islam yang begitu tinggi juga telah disebut dalam kes Meor Atiqulrahman dll lwn Fatimah Bte Sihi dll [2000] 5 MLJ 375. YA Hakim Dato’ Mohd Noor Abdullah dalam memutuskan kes pemakaian serban oleh tiga murid sekolah mengatakan bahawa menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, agama Islam merupakan ad-deen, satu cara hidup dan bukan hanya khusus untuk upacara-upacara rasmi sahaja. Katanya lagi, “ugama Islam adalah ugama utama, mengatasi agama-agama lain di Malaysia. Status agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain”.

Dalam kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dll [2004] 2 MLJ 119 YA Hakim Dato’ Faiza Tamby Chik memutuskan bahawa Perkara 3 (1) Perlembagaan itu sendiri menempatkan kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama utama dan dominan mengatasi ugama-ugama lain. Justeru itu, adalah menjadi tanggugjawab Kerajaan Persekutuan memelihara, menjaga dan mempromosikan Islam. Memandangkan kedudukan khas yang diberikan kepada agama Islam, dan kaitan antara Islam dan Melayu, YA Hakim telah menolak permohonan Lina Joy untuk menukar nama Islam kepada nama bukan Islam, justeru untuk memelihara agama Islam.

Memandangkan bahawa kedudukan Islam yang diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan membawa maksud yang besar, maka pandangan yang mengatakan bahawa negara ini merupakan negara sekular pada pandangan penulis tidak tepat. Masakan negara sekular memberi keistimewaan yang begitu besar kepada agama Islam. Ini termasuk penggunaan wang negara. Perkara 12(1) memberi keizinan kepada kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi pembangunan dan apa-apa saja kaitan dengan agama Islam.

Professor Emaritus Dr. Shad Saleem Faruqi (UiTM) berpendapat bahawa dalam sesebuah negara sekular, peruntukan agama rasmi bagi negara lazimnya tidak dimasukkan dalam perlembagaan negara tersebut dan tiada peruntukan dan bantuan diberi bagi aktiviti-aktiviti agama. Tetapi perkataan ‘agama’ diulang tidak kurang dari 20 kali dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi, bagaimana boleh dikatakan Malaysia sebuah negara sekular? Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim juga tidak dapat menerima pandangan yang mengatakan bahawa negara ini adalah negara sekular. Menurut Almarhum, perkataan ‘agama’ dalam Perkara 3(1), Perlembagaan Persekutuan seharusnya tidak disempitkan hanya untuk upacara-upacara rasmi keagamaan sahaja tetapi seharusnya meliputi undang-undang utama negara.

Walaupun begitu, pandangan Prof. Shad Saleem Faruqi yang menyatakan bahawa kedudukan Malaysia yang agak unik. Beliau menganggap Malaysia sebuah negara hibrid (hybrid). Dengan mengkelaskan status sedemikian, Malaysia tidak boleh sama sekali dianggap sebagai negara sekular. Masakan dalam negara sekular boleh memberi bantuan pembinaan masjid-masjid, kuil-kuil dan gereja. Ini yang membezakan Malaysia dari negara-negara lain. Walaupun agama Islam merupakan agama Persekutuan dan dianggap dominan justeru kerana orang Melayu itu adalah orang Islam (mengambil definisi orang Melayu dalam Perkara 160 (2) Perelembagaan Persekutuan), ia tidak sama sekali menafi hak orang bukan Islam.

Hujah lain ialah lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong setiap kali ditabalkan antara lain adalah untuk ”memeliharakan setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri”. Ini mencerminkan bahawa agama Islam diberi tempat yang tinggi.

4. Kesimpulan

Pandangan yang mengatakan bahawa negara ini adalah negara sekular kurang tepat. Ini kerana, Perlembagaan Malaysia itu sendiri tidak menyebut bahawa negara ini adalah negara sekular. Walaupun secara zahir, tidak terdapat peruntukan dalam Perlembagaan itu yang mengatakan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam, tetapi ciri-ciri dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan itu sendiri mengiktiraf bahawa negara ini mengagungkan agama Islam. Mana mungkin sebuah negara sekular memberi keistimewaan yang luar biasa kepada agama Islam. Ini terbukti dengan adanya peruntukan-peruntukan dalam Perkara 3(1) yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan Perkara 12(2) yang memberi keizinan kerajaan membelanjakan duit negara untuk tujuan pembangunan agama Islam.
0 Komentar untuk "Perlembagaan Persekutuan: Malaysia Bukan Negara Sekular "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI