Ditelan mati emak, diludah mati bapak. Nampaknya peribahasa ini paling sesuai menggambarkan dilema ahli politik Malaysia berkenaan hukum hudud, sama ada Islam mahupun bukan Islam.
Kali ini, ketua Pakatan Harapan sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, terperangkap dengan persoalan dalam temuramah yang amat licik dengan wartawan Al Jazeera, Mehdi Hassan.
Mehdi bertanya Wan Azizah tentang kerjasama PKR dengan PAS walaupun PAS sedang berusaha gigih untuk meluluskan rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk meningkatkan had hukuman.
Wan Azizah cuba berdalih dengan mengatakan PKR tidak lagi bekerjasama dengan PAS tetapi Mehdi dapat mengesan “mangsanya” itu dalam keadaan terdedah, sambil menekan “butang” itu lagi dengan mengingatkan yang PKR bekerjasama dengan PAS sudah sekian lama.
Wan Azizah mungkin tidak sedar yang perangkap sudah sedia untuknya, lalu menjawab yang pada masa itu, PAS bersetuju membelakangkan hudud.
Mehdi pun menerkam dengan soalan tentang hudud. Dia terus bertanya kepada Wan Azizah, adakah beliau akan melaksanakan hukum hudud jika menjadi perdana menteri.
Wan Azizah membuka ruang untuk Mehdi menggunakan taktik logika iaitu “appeal to emotion” (menggunakan hujah yang akan menaikkkan emosi) dan bertanya, adakah Wan Azizah akan menginstitusikan hukuman kejam seperti memotong tangan dan merejam sampai mati. Di sinilah Wan Azizah terkandas dan menjawab, “Bukan dalam masa terdekat”.
Dengan jawapan ini, Wan Azizah menjadikan dirinya sasaran kepada media sosial yang mengkritik dan mencemuhnya bertubi-tubi.
Mengapa Wan Azizah begitu lemah menjawab soalan ini?
Jawapannya amat mudah – kerana ahli-ahli politik Malaysia selain daripada PAS, menjadi tebusan kepada hukum hudud.
Ironiknya, PAS yang gagal dalam semua aspek lain termasuk dalam mentadbir kerajaan menjadi juara untuk hukum hudud. Ini bukan bermakna yang merekalah yang paling “Islam” tetapi sekurang-kurangnya, buat masa ini, merekalah yang paling jujur dalam isu ini.
Parti politik lain pula, seperti Umno dan PKR yang kebanyakan ahlinya Melayu dan Islam, sentiasa perlu menari mengikut rentak.
Ada yang memberi alasan yang hukum ini perlu diasaskan atas “maqasid syariah” iaitu matlamat hukum Tuhan. Ada yang mengatakan di negara yang berbilang bangsa, sukar untuk melaksanakannya. Ada yang mengatakan ia perlu dikaji dengan lebih lanjut, dan bermacam-macam alasan lain.
Perlu jujur, jangan berdalih
Kepada pengundi yang menyokong hudud, taktik sebegini menampakkan sifat tidak jujur.
Sewajarnya, jika sesebuah parti itu benar-benar percaya yang hudud itu sebenarnya daripada Allah, maka mereka sepatutnya berusaha melaksanakan hukum-hukum ini. Dengan berlengah ataupun memberi alasan mengapa ia tidak boleh dilaksanakan tetapi tidak menidakkannya terus, ahli politik selain PAS membuka peluang supaya mereka dikritik habis-habisan.
Ini satu peluang yang selalu digunakan oleh PAS untuk memenangi markah dengan pengundi.
Kita perlu bertanya, adakah hukum hudud itu benar-benar daripada Tuhan?
Al-Quran memberi kita satu ukuran untuk menilai sesuatu sumber ilmu – jika ia mempunyai banyak percanggahan, maka ianya bukan daripada Tuhan (Surah An-Nisa, Ayat 82).
Adakah hudud mempunyai banyak percanggahan? Jawapan yang membuatkan orang Islam tidak selesa ialah “ya”. Sememangnya hukum hudud mempunyai banyak percanggahan.
Bukan sahaja dalam produk sistem ini iaitu undang-undang (al-ahkam) tetapi dalam sumber-sumber sistem ini juga (al-usul).
Ada mazhab yang perlukan ijma’ (Syafi), ada yang perlu ijma ahl al-Madinah (Maliki), ada yang menerima qiyas (Hanafi) dan ada yang hanya menerima Al-Quran dan Sunnah (Hanbali).
Jadi amatlah susah untuk mempercayai yang perbezaan yang besar ini sebenarnya berasal daripada Tuhan. Ia bercanggah dengan ukuran Al-Quran sendiri dan juga dengan hukum logik.
Jadi apakah langkah yang sebaiknya untuk ahli politik Malaysia?
Pada saya, berbicaralah dengan jujur. Jangan buat alasan. Jangan cuba berdalih. Beritahulah kepada rakyat yang hukum-hukum ini bukan sebenarnya daripada Tuhan dan adalah produk fikrah dan budaya manusia sahaja.
Bagaimana reaksi Melayu-Islam kepada ucapan sebegini? Daripada pengalaman saya sendiri, saya jangka yang mereka akan cukup marah.
Ini adalah kerana sistem persekolahan Islam di Malaysia (dan sebenarnya, di mana-mana!) tidak memberi gambaran sebenar. Mereka mengajar yang hukum hudud adalah “hukum Tuhan yang wajib diimani” walaupun ada banyak percanggahan.
Sesiapa yang menyoal hukum ini dikafirkan. Dengan mentaliti sebegini, tidaklah mengejutkan yang Melayu-Islam amat fanatik tentang hudud.
Ahli politik perlu berucap secara terbuka. Jika anda benar-benar mempercayai hukum-hukum ini daripada Tuhan, jangan berlengah masa dan laksanakanlah sekarang juga.
Tetapi jika tidak, janganlah berdalih. Sememangnya anda akan hilang sedikit sokongan tetapi jika anda menjalankan program kebajikan untuk rakyat seperti termaktub dalam Al-Quran, mereka akan kembali ke pangkuan anda.
Bercakaplah dengan jujur. Al-Quran sendiri memberi fokus yang amat sedikit kepada hukum-hukum (2% daripada 6236 ayat!) dan lebih kepada reformasi diri dan masyarakat. Inilah sepatunya fokus ahli politik untuk memakmurkan negara.
0 Komentar untuk "Hudud: Apabila pemimpin Melayu terpaksa berjoget ikut rentak PAS"