Ku Li: Saya Konsisten Pendirian Untuk Perubahan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Ku Li: Saya Konsisten Pendirian Untuk Perubahan

PETALING JAYA: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa beliau sentiasa konsisten dalam pendiriannya mengenai tanggungjawab awam dan keperluan untuk perubahan.

"Inilah intipati perjuangan saya di peringkat kebangsaan serta dalam Umno sejak tahun 1987. Saya konsisten dalam perkara ini dan saya akan terus konsisten di hari muka.

"Kebelakangan ini, desakan untuk perubahan semakin lantang. Seperti juga orang lain yang inginkan perubahan, saya juga sentiasa mencari jalan munasabah dan sah dari segi undang-undang untuk maksud ini termasuklah meneliti peranan yang boleh dimainkan oleh Dewan Rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurut Tengku Razaleigh lagi, sebagai pengamal politik, beliau sentiasa bertindak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan kehendak parti.

"Oleh yang demikian isu menyokong kerajaan yang memerintah dan sekaligus memberi sokongan kepada ketua kerajaan tidak timbul," katanya yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.

Bagaimanapun beliau mengingatkan setiap pengamal politik dan juga Ahli Parlimen bahawa mereka berkewajipan untuk tidak mendewa-dewakan orang perseorangan dan bermain politik dalam usaha dalam menangani perubahan yang diperlukan itu.

Minggu lalu, Tengku Razaleigh menandatangani Deklarasi Kelantan, dan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa memuat naik gambar yang menunjukkan Ahli Parlimen Gua Musang itu bersama wakil-wakil Barisan Nasional sedang menandatangani sebuah dokumen.

Berikut adalah kenyataan penuh Tengku Razaleigh:

Negara kita kini sedang mengalami krisis genting mengenai pemerintahan dan kepimpinan. Ini menyebabkan kita mengalami masalah ekonomi yang dahsyat terutamanya berkaitan dengan isu hutang negara.

Ia mengakibatkan beberapa masalah ekonomi serius seperti kenaikan mendadak kos sara hidup yang membawa kesan buruk kepada rakyat. Selama ini saya sering berpendapat dan mengingatkan sekiranya kita tidak tukar cara berpolitik dan perisian dasar ekonomi, kita akan menghadapi krisis seperti yang berlaku sekarang ini.

Saya mengingatkan perkara ini di Parlimen dan juga dalam beberapa ucapan saya. Saya konsisten dan berkali-kali menyatakan bahawa kita pasti tidak dapat mengelak perubahan. Tanpa perubahan dalam tatacara pemerintahan negara dan cara kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab awam, tidak mungkin kita dapat selesaikan masalah yang dihadapi itu.

Saya yakin tiada siapa yang dapat menuduh saya tidak konsisten berkenaan pendirian saya terhadap tatacara pemerintahan negara, tanggungjawab awam dan perlunya perubahan. Inilah intipati perjuangan saya di peringkat kebangsaan serta dalam Umno sejak tahun 1987.

Saya konsisten dalam perkara ini selama ini dan saya akan terus konsisten di hari muka. Kebelakangan ini, desakan untuk perubahan semakin lantang. Seperti juga orang lain yang inginkan perubahan, saya juga sentiasa mencari jalan munasabah dan sah dari segi undang-undang untuk maksud ini, termasuklah meneliti peranan yang boleh dimainkan oleh Dewan Rakyat.

Bagi maksud ini dan sebagai pengamal politik, saya bertindak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan kehendak parti. Yang demikian isu menyokong kerajaan yang memerintah dan sekaligus memberi sokongan kepada ketua kerajaan tidak timbul.

Dalam usaha untuk memberi sumbangan berguna dan berfaedah, saya amat peka dan sedar akan masalah yang dihadapi negara dan keadaan kita yang genting; umpamanya masalah berkaitan dengan hutang negara serta akibatnya, terutamanya kesan terhadap kehidupan seharian rakyat jelata.

Dalam ucapan saya di Parlimen dan surat saya kepada Ahli-Ahli Parlimen, saya telah mengingatkan akan kesan yang kita rasai sekiranya hutang negara ini tidak ditangani dan diurus dengan penuh tanggungjawab.

Maka itu setiap pengamal politik dan Ahli Parlimen berkewajipan untuk tidak mendewa-dewakan orang perseorangan dan bermain politik dalam usaha dalam menangani perubahan yang diperlukan itu.

Izinkan saya mengulangi bahawa masalah yang kita hadapi ini meninggalkan kesan negatif terhadap ekonomi kita dan kedudukan antarabangsa negara. Oleh itu kita hendaklah bijak menyelesainya dalam masa terdekat.

Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang.

0 Komentar untuk "Ku Li: Saya Konsisten Pendirian Untuk Perubahan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI