Jelas Perdana Menteri, keputusan menggantikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan menggugurkan empat lagi menteri dan seorang timbalan menteri serta perubahan portfolio dibuat selepas mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentabiran negara.
"Ini bagi memastikan pentadbiran di bawah saya terus komited, sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat pada pilihan raya umum yang ke-13," katanya pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri, Selasa.
Najib berkata bagi tujuan ini, Jemaah Menteri perlu bertindak sebagai satu pasukan yang jitu dalam apa jua keadaan, melangsungkan agenda pembangunan Negara serta menguruskan isu-isu Negara yang berbangkit agar dapat bertindak dengan berkesan.
"Saya boleh menerima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian dari proses dalam membuat keputusan. Namun, sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap Kerajaan serta negara. Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama Kabinet (collective responsibility)," katanya.
Menurut beliau, keputusan menggantikan Muhyiddin merupakan satu keputusan yang amat sukar, tetapi terpaksa saya lakukan agar Jemaah Menteri dapat bergerak sebagai satu pasukan yang jitu.
"Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Tan Sri Muhyiddin. Begitu juga oleh Menteri dan Timbalan Menteri yang kini tidak lagi bersama saya di dalam pentadbiran Kerajaan," katanya.
Malah, Najib turut yakin senarai Kabinet yang baru ini dapat meneruskan hasrat kerajaan menjayakan segala perancangan yang telah dijanjikan dan meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada Barisan Nasional.
Beliau berkata, Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia akan diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara kira-kira pukul 10 pagi Rabu.
0 Komentar untuk "Ganti Muhyiddin Supaya Jemaah Menteri Dapat Bergerak Satu Pasukan"