SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada unsur dendam berhubung tindakan pembekuan akaun bank Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Parlimen Bandar Tun Razak dan Dun Pelabuhan Klang yang disandang bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, dasar pembekuan akaun bank itu telah diguna pakai sebelum ini apabila seseorang Adun mahupun Ahli Parlimen itu, tidak lagi menganggotai keahlian PR.
“Tidak ada unsur dendam, dasar itu (beku akaun) diguna pakai oleh beliau sendiri. Kenapa anda tanya saya?
“Pada tahun 2009, wakil kita di Pelabuhan Klang (Badrul Hisham Abdullah) keluar parti, perkara sama turut dilakukan oleh Tan Sri Abdul Khalid.

“Begitu juga situasinya setelah enam Exco PKR dan DAP dipecat, itu juga yang dilakukan beliau,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), semalam.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menafikan tindakan pembekuan akaun di dua kawasan berkenaan bermotifkan dendam dan memusuhi Abdul Khalid.

“Memusuhi Khalid? Tak adalah... beliau sahabat saya,” katanya.

Adun Bukit Antarabangsa itu  turut menjelaskan bahawa beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu kerana ia diuruskan oleh pihak pentadbiran.

Kelmarin, Penyelaras Dun Pelabuhan Klang, Faekah Husin mendakwa Mohamed Azmin mengarahkan pihak bank supaya membekukan akaun bank SMUE Parlimen Bandar Tun Razak dan Dun Pelabuhan Klang yang disandang Abdul Khalid.

Faekah berkata, arahan yang dikeluarkan atas nama Bendahari Negeri Selangor itu, dikeluarkan pada 25 September lalu dan dipercayai dibuat atas arahan menteri besar.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata, beliau akan menulis surat kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bagi memohon kandungan Perjanjian Utama Air yang dilindungi Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) didedahkan kepada umum.

Azmin berkata, dalam tempoh seminggu ini beliau dan pegawai bertanggungjawab akan menyediakan surat bersama hujah sebelum mengemukakan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Salinan perjanjian itu juga kita belum terima, sebab itu saya akan tulis surat kepada KeTTHA untuk pastikan perincian kandungan itu didedahkan kepada rakyat.

“Bagaimanapun masalahnya ialah perjanjian berkenaan tertakluk kepada OSA,” katanya.