Utusan gesa Malaysia contohi Singapura tangani perkara sensitif - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Utusan gesa Malaysia contohi Singapura tangani perkara sensitif

Akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini menggesa pihak berkuasa Malaysia mencontohi ketegasan Singapura dalam perkara membabitkan sensitiviti kaum dan agama. – Gambar fail, 3 Ogos, 2014.
Akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini menggesa pihak berkuasa Malaysia mencontohi ketegasan Singapura dalam perkara membabitkan sensitiviti kaum dan agama.

Menurut kolumnis Awang Selamat, negara jiran itu dilihat lebih cepat bertindak dalam kes-kes sebegini tanpa mengira status kaum atau agama dan pihak berkuasa Singapura dilihat berjaya mengawal kenyataan sensitiviti membabitkan agama yang berleluasa di laman sosial negara itu.

"Kes-kes hasutan agama dan kaum termasuk menerusi laman sosial di Singapura ditangani dengan tegas dan konsisten oleh negara itu.

"Berdasarkan pemerhatian Awang, kepentingan agama Islam lebih 'terlindung' dalam dunia siber di negara jiran itu berbanding Malaysia. Pihak berkuasanya ternyata bukan sahaja cepat bertindak, malah tidak memilih bulu," tulisan Awang Selamat dalam edisi Ahad akhbar itu, Mingguan Malaysia.
Beliau berkata, bukan sahaja perkara melibatkan sensitiviti kaum, malah pihak berkuasa negara itu juga tegas dalam soal ancaman pengangkutan awam seperti kes pemandu bas Singapura yang pernah dipenjarakan kerana mogok, tindakan tegas juga perlu diambil kepada pemandu bas kilang yang mengadakan protes di Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Malaysia.

‎"Perbuatan mereka mencetuskan kekecohan dan mengganggu ketenteraman awam sehingga menyebabkan lebih 4,000 pekerja terpaksa berjalan kaki untuk masuk ke republik itu." katanya.

Selain itu, Awang Selamat juga menggesa pihak berkuasa Malaysia agar tidak menjadi dayus dalam soal mengambil tindakan terhadap individu yang menghina agama Islam secara terbuka.

Beliau turut menyalahkan sikap pihak berkuasa yang teragak-agak takut dan lambat bertindak menjadi punca semakin ramai individu bukan Islam berani membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

"Peneraju yang diberi amanah menjaga ketenteraman awam, hal pendakwaan dan isu ancaman siber, tidak boleh menjadi dayus.

"Letak jawatan jika asyik memberi banyak alasan. Tolonglah berani dalam menjaga kepentingan majoriti yang juga ada hak untuk hidup tenteram," katanya menerusi ruangan 'Bisik-Bisik Awang Selamat'  hari ini.

Akhbar lidah rasmi Umno itu mendakwa tindakan yang diambil pihak berkuasa juga dlihat hanya cepat sekiranya membabitkan kaum Melayu.

"Yang turut menjadi isu mengapa apabila individu Melayu melakukan perkara tersebut, tindakan begitu cepat diambil.

"Begitu proaktif tanpa menunggu terlebih dahulu reaksi orang ramai sebagaimana biasa. Tindakan yang diambil berpilih-pilih," katanya.

Tulisan Awang Selamat itu dipercayai merujuk kes seorang pemuda Cina, Kelvin Yip yang menghina agama Islam kerana marah laungan bacaan ayat suci Al-Quran dialunkan melalui pembesar suara seawal jam 6.45 pagi pada Hari Raya Aidilfitri.

Yip menulis di laman Facebooknya, mendakwa bacaan ayat suci mengganggu dirinya:

"Eh hello bangsat, aku tahu Hari Raya tapi tolong hindarkan doa anda kepada Tuhan dari pembesar suara pada jam 6.45 waktu pagi, ia sangat menjengkelkan," tulisnya.

Bagaimanapun, tiga jam kemudian pemuda itu menulis kembali meminta maaf akan kenyataannya dan turut bertindak memadam tulisan di laman sosialnya itu

Awang Selamat turut meluahkan kebimbangan sekiranya pihak berkuasa berterusan dengan sikap demikian, maka akan mencetuskan ketegangan kaum berdasarkan analisis beberapa bekas pegawai kanan polis.

Katanya, isu penghinaan itu pasti akan mengundang reaksi dan tindak balas daripada golongan ekstrem dan puak militan yang mungkin akan bertindak balas dengan kegananasan.

"Jangan biar golongan tersebut menangguk di air keruh dan memudaratkan lagi keadaan. Tetapi jika ia berlaku, kita tahu apa puncanya dan siapa yang dilihat gagal.

"Sekiranya pihak berkuasa kelihatan lesu, dikhuatiri ia akan mencetuskan ketegangan kaum yang menurut analisis beberapa bekas pegawai kanan polis, bagaikan bom jangka menanti ledakan. Sudah tentu ia akan menjadi isu ancaman keselamatan yang serius kepada negara," katanya. – 3 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/utusan-gesa-malaysia-contohi-singapura-tangani-perkara-sensitif#sthash.p3TXLkFg.dpuf
0 Komentar untuk "Utusan gesa Malaysia contohi Singapura tangani perkara sensitif "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI