Misha nafi ambil tindakan undang-undang terhadap Dangerous Events, risau kesihatan ayah
Tatkala diri bergelut kerisauan dek kesihatan bapa yang masih ditahan di wad, Misha Omar terpaksa pula berdepan dakwaan dikatakan mahu menyaman penganjur Konsert Jelajah 3 Permata.
Jauh di sudut hati, dia terkilan kerana kenyataan berkenaan bukan keluar daripada mulutnya, tambahan pula tiada seorang pun wakil penerbitan itu mendapatkan pengesahan sebelum mengeluarkan cerita terbabit.
Bayangkan ketika kami dilanda kebimbangan dengan kesihatan ayah, timbul pula isu saman-menyaman. Ibu saya membaca berita itu seawal pagi ketika dia di sisi ayah di hospital dan terus menghubungi saya bertanyakan kesahihannya. Sudah pasti kerisauan mak saya bertambah, mana nak fikir ayah... isu anaknya lagi." Misha
Akui penyanyi ini, sedikit sebanyak emosi serta tumpuan terhadap insan tersayang, Omar Ismail, 78, yang dimasukkan ke hospital sejak 29 Ogos lalu berikutan serangan jantung terganggu dihambat berita tidak benar.
“Tiada terdetik saya mahu menyaman atau disaman. Saya tidak tahu menahu pun isu yang diperkatakan. Berkenaan konsert itu, hingga kini kami belum menandatangani sebarang kontrak, jadi tiada hitam putih pun... Jadi bagaimana saya dikatakan ingin mengambil tindakan undang-undang?
“Andai mereka inginkan kepastian, boleh hubungi pengurus saya, Mimi, atau terus bertanya pada saya sendiri. Saya sedia menjawab, tetapi sampai sekarang tiada sesiapa pun dari pihak mereka menghubungi kami. Sebab itu saya meluahkan rasa kecewa menerusi Twitter, kelmarin, “ katanya ketika dihubungi HIP, semalam.
Elak calar imej sendiri
Masih berada di hospital bersama anggota keluarga lain, tegas Misha, buat masa ini mereka mendahulukan kesihatan bapanya, tambahan pula selepas dia mengalami serangan jantung kali kedua, malam semalam.
Terdahulu, ruangan pojok sebuah akhbar menyatakan pelantun lagu Angin Syurga itu mahu membawa isu pembatalan Konsert Jelajah 3 Permata ke mahkamah. Ia dikatakan turut mendapat sokongan dua lagi rakan gandingan, Jaclyn Victor dan Adibah Noor.
Mengikut perancangan, konsert anjuran Dangerous Events yang membabitkan tiga nama besar itu sepatutnya berlangsung di enam negeri iaitu di Sarawak, Sabah, Johor, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur, bulan ini, tetapi dibatalkan pada saat akhir.
Cuma terdetik di hati mengapa namanya kerap dikaitkan dengan kontroversi sebegitu sedangkan jika boleh dia ingin mengelak daripada terjebak dengan isu yang boleh menghiris perasaan keluarga.
“Bayangkan ketika kami dilanda kebimbangan dengan kesihatan ayah, timbul pula isu saman-menyaman. Ibu saya membaca berita itu seawal pagi ketika dia di sisi ayah di hospital dan terus menghubungi saya bertanyakan kesahihannya. Sudah pasti kerisauan mak saya bertambah, mana nak fikir ayah... isu anaknya lagi.
“Selepas dijelaskan, baru dia mengerti. Saya harap mereka di luar sana memahami keadaan kami. Baik sesiapa pun, sebelum menyiarkan sesuatu, dapatkan maklumat daripada tuan punya diri, apatah lagi perkara yang membabitkan undang-undang. Masing-masing ada tanggungjawab.
“Ini juga soal kerjaya serta imej saya. Takkan dengan mudah saya mahu mencalarkan reputasi sendiri? Barangkali penganjur juga ketawa kerana kami tiada kontrak. Mungkin penulis tidak tahu keadaan saya ketika ini? Tidak mengapalah, cuma biarlah ia jadi pengajaran buat semua,” katanya dengan nada suara yang tersekat-sekat.
Dugaan keluarga
Ditanya mengenai keadaan bapanya, tambah Misha, berdasarkan pemeriksaan, doktor memberi pilihan sama ada melakukan pembedahan. Namun buat masa ini, pakar perubatan menyalurkan ubat melalui pembuluh darah untuk membuka saluran tersumbat.
“Kalau lihat secara fizikal, bapa kami nampak sihat, tetapi bagai dikatakan doktor, serangan kedua boleh datang bila-bila masa. Tengah malam semalam ayah mengalami serangan kedua. Kesihatan ayah yang tidak menentu membuatkan emak juga tidak berenggang dari sisinya," katanya.
0 Komentar untuk "Misha Omar: Tiada niat saman penganjur"