Hentikan spekulasi negatif tentang kami – Akhil Hayy
|
|
KUALA LUMPUR 16 Ogos – Penceramah bebas dan penyanyi nasyid terkenal, Akhil Hayy, 40, yang menikahi penyanyi dan pelakon, Waheeda, 30, mahu segala spekulasi negatif tentang mereka segera dihentikan.
Ini kerana segala khabar angin sehingga tercetusnya kontroversi antara mereka selama ini sudah terlalu banyak digembar-gemburkan.
Apa yang penting buat Akhil kini adalah untuk meneruskan kehidupan baru bersama Waheeda dan mengharapkan perkahwinan keduanya itu kekal sehingga ke akhir hayat.
Akhil atau nama sebenarnya, Abdul Akhil Hai juga berkali-kali memberitahu, dia tidak pernah menipu tentang hubungan persahabatan bersama Waheeda yang terjalin sejak dua tahun lalu.
“Sudah sampai jodoh untuk saya bernikah dengan Waheeda seperti mana yang ditetapkan oleh Allah selain mahu mempercepatkan sebelum menjelangnya Ramadan.
“Alhamdulillah, segala-galanya berjalan dengan lancar seperti mana yang dirancangkan dan saya berharap agar tidak ada lagi cerita buruk tentang kami yang akan tersebar.
“Setidak-tidaknya dengan pernikahan kami ini telah berjaya meningkah dakwaan yang mengatakan kami sudah berkahwin sebelum ini,” ujar Akhil dalam nada tenang sewaktu dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Waheeda atau nama sebenarnya, Nor Wahidah Abdul Wahab sah menjadi miliki Akhil hanya dengan sekali lafaz sahaja dalam satu majlis serba sederhana yang berlangsung di Masjid Jamek Ar-Rahimah Kuala Kubu Baru, Selangor pagi ini.
Pasangan berkenaan dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Hulu Selangor, Ustaz Zulkhairi Zaid sambil disaksikan lebih daripada 200 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan teman rapat kedua belah pihak.
Sebelum ini, Akhil pernah mendirikan rumah tangga dengan Maizawati Zainal selama 13 tahun dan dikurniakan dengan empat orang anak.
Namun, ikatan tersebut tidak mampu diteruskan apabila Maizawati memfailkan perceraian sebelum Mahkamah Rendah Syariah, Ipoh, Perak mengesahkannya pada 15 Julai lalu.
Maizawati mendakwa dia berbuat demikian kerana Akhil mempunyai hubungan dengan Waheeda.
Namun Akhil sebelum ini menafikan hubungannya dengan Waheeda
Dalam majlis tersebut, Waheeda telah menerima mas kahwin sebanyak RM80 dan senaskhah al-Quran bagi menggantikan wang hantaran.
Saat ditanya tentang kitab suci itu yang menggantikan wang hantaran kepada Waheeda, jelas Akhil, ia adalah permintaan daripada keluarga penyanyi lagu Wassini itu sendiri.
Pihak pengantin lelaki juga menerima tujuh dulang hantaran dan dibalas dengan sembilan dulang oleh pihak Waheeda.
Sementara itu, sewaktu dihubungi, Waheeda berkata, perkahwinannya itu adalah sebagai tanda persaraannya dalam bidang seni sekali gus membuktikan bahawa dia sudah bersedia sepenuhnya menjadi seorang isteri dan ibu.
Bukan itu sahaja, dia gembira kerana dengan perkahwinan itu dia dapat merapatkan semula ikatan kekeluargaan yang renggang sejak tersebarnya berita negatif tentang dia dan suaminya.
“Saya mahu lebih fokus kepada keluarga dan anak-anak. Malah, saya juga sudah bersedia untuk memiliki zuriat sendiri.
“Tiada lain yang saya harapkan agar Allah terus merahmati perkahwinan saya bersama Akhil,” jawabnya ringkas.
Majlis resepsi kedua mempelai akan diadakan di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 31 Oktober depan.
Maizawati, 34, dalam reaksinya berkata, dia tidak tahu mengenai pernikahan itu dan hanya mengetahui selepas ditanya pemberita.
Sehubungan itu dia mendoakan Akhil dan Waheeda hidup bahagia selama-lamanya.
“Sudah ditakdirkan jodoh mereka. Jagalah elok-elok rumah tangga,
“Saya akan teruskan hidup dengan anak-anak. Saya kena cari rezeki dan menguruskan kerjaya saya,” katanya.
Akhil sunting Waheeda
KUALA KUBU BAHARU - Sebelum ini, mereka saling menafikan ada perasaan cinta dan hanya menganggap hubungan yang sedia terjalin cuma sekadar gosip rakan artis.
Walaupun 'kemesraan' antara mereka semakin jelas, namun hubungan antara pendakwah, Akhil Hayy, 40, dan penyanyi nasyid, Waheeda, 30, semakin menjadi kontroversi sejak perceraian Akhil dengan isterinya, Maizawati Zainal, 33, pada bulan lalu.
Namun semalam, selepas genap sebulan Akhil dan Maizawati disahkan bercerai, akhirnya Akhil yang juga dikenali sebagai 'Ustaz Rock' menamatkan spekulasi dengan menyunting Waheeda sebagai isteri yang sah.
Pasangan itu selamat dinikahkan dengan sekali lafaz di hadapan Pendaftar Nikah Rujuk Dan Cerai, Hulu Selangor, Ustaz Zulkhairi Jaid di Masjid Jamek Al-Rahimah di sini tepat pukul 12 tengah hari.
"Ini adalah penutup spekulasi kami selain bukti kami belum pernah bernikah sebelum ini. Ini adalah pernikahan sebenar," ujar Akhil ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.
Akhil yang kelihatan ceria hadir ditemani dua daripada empat anaknya, Siti Nurmaisarah, 12, dan Muhd. Sharif Hidayatullah, 11, dan beberapa ahli keluarganya dari Gopeng, Perak. Majlis itu dihadiri kira-kira 200 orang.
Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab yang hadir dengan ditemani beberapa ahli keluarganya termasuk ibunya, Hajah Asri Othman, 58, dan bapanya Abdul Wahab Yusof, 58 pula berkata: "Saya percaya setiap dugaan yang besar ada hikmahnya. Pernikahan ini adalah ganjaran dugaan saya."
Ana dah kahwin
am@hmetro.com.my
KUALA KUBU BHARU: “Ana harap semua kemelut dan gosip dinoktahkan dengan ijab kabul. Ini (pernikahan) juga doa daripada kalian semua (wartawan),” kata penyanyi, pengacara dan penceramah bebas, Akhil Abdul Hai atau lebih dikenali sebagai Akhil Hayy selepas selamat diijab kabulkan dengan penyanyi Waheeda, semalam.
Akhil, 40, menganggap pernikahan mereka sebagai ketentuan Allah selepas berdepan dengan pelbagai tohmahan sebelum ini.
“Sebelum ini ana ada menyatakan senang dengan sikap dia (Waheeda) dan tuan punya dunia membuka pintu hati ana untuk kembali berumah tangga selepas berstatus duda.
“Ana tidak boleh kata tiada perasaan cinta (kepada Waheeda) kerana Allah mencampakkan ke hati setiap manusia rasa kasih sayang dan ini satu amanah berat kepada ana, bukan saja untuk membimbing Waheeda malah keluarga,” katanya ketika ditemui selepas majlis akad nikah mereka di Majlis Jamek Ar-Rahimah di sini, semalam.
Pasangan itu dinikahkan Pendaftar Nikah dan Cerai Pejabat Agama Islam Hulu Selangor, Zulkhairi Jaid dan dengan sekali lafaz, Akhil dan Waheeda atau nama sebenar, Norwahidah Abdul Wahab, 31, sah sebagai suami isteri tepat jam 12 tengah hari.
Turut menyaksikan majlis ijab kabul itu ialah bapa Waheeda, Abdul Wahab Yusuf, 58, ibunya, Asri Othman, 58, ibu Akhil, Azizah Daud, 72, dan dua anak Akhil, Siti Nur Maisarah, 12, dan Mohd Syarif Idayatullah, 11.
Pada majlis pernikahan yang dihadiri saudara terdekat itu, tiada wang hantaran diberikan, sebaliknya pihak lelaki menyediakan senaskhah al-Quran. Rombongan lelaki juga memberi tujuh dulang hantaran dan dibalas 11 dulang oleh pihak perempuan.
Majlis itu menjadi hiba apabila Waheeda menitiskan air mata ketika bersalaman dengan ibu bapanya selepas selamat diijab kabulkan.
Akhil berkata, dia bersyukur kerana majlis itu berjalan lancar selepas banyak perkara ditempuhi, malah tidak menyangka ia dihadiri ramai saudara terdekat kerana cadangan asal mahu melaksanakannya secara kecil-kecilan.
“Mulanya kami mahu melangsungkan majlis ini pada 21 Ogos bagi mendapat keberkatan Ramadan, tapi keluarga mahu ia diawalkan.
“(Selepas ini) saya berharap semua peminat Waheeda dapat mendoakan kebahagiaan kami. Kami mahu menutup buku lama dan membuka buku baru,” katanya.
Akhil bagaimanapun enggan memberi sebarang komen mengenai bekas isterinya, Maizawati Zainal, 33, dan terpulang kepadanya untuk berkata apa saja.
Sementara itu, Waheeda pula menegaskan dia tetap meneruskan hasrat bersara dari dunia seni dan hanya akan menumpukan perhatian kepada anak serta keluarga.
“Sebelum ini (pakar motivasi) Datuk Dr Mohd Fadzillah Kamsah ada menasihatkan saya bahawa dugaan yang lebih berat akan membuahkan ganjaran lebih besar daripada Allah.
“Biarlah selepas ini orang nak cakap apa pun kerana banyak lagi perkara lebih penting dalam hidup ini. Saya hanya mahu menghabiskan masa dengan keluarga,” katanya.
Mengenai hantaran senaskhah al-Quran, Waheeda berkata ia permintaan bapanya kerana itu pemberian paling lengkap.
Mengulas penyakit yang menimpanya, Waheeda berkata, keadaannya teruk sejak tiga bulan lalu, namun ia kini beransur pulih.
Pasangan itu akan mengadakan majlis persandingan pada 31 Oktober ini di Dewan Orang Ramai Bukit Jelutong, Shah Alam dan di tempat asal Akhil di Gopeng, Perak, seminggu kemudian.
Kontroversi mengenai keretakan rumah tangga Akhil mendapat liputan meluas media massa akhir Mei lalu berikutan Maizawati membuat pendedahan terbuka menerusi program televisyen.
Pasangan itu akhirnya bercerai pada 15 Julai lalu selepas Akhil melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak.
0 Komentar untuk "Hentikan spekulasi negatif tentang kami – Akhil Hayy"