PKR, DAP komplot dengan Bersih beri tekanan kepada PAS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PKR, DAP komplot dengan Bersih beri tekanan kepada PAS

Gabungan PKR, DAP dan NGO Bersih dikatakan Utusan Malaysia berkomplot untuk menggesa tindakan dikenakan ke atas Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki. – Gambar fail, 3 Ogos, 2014.
Utusan Malaysia hari ini mendakwa PKR dan DAP berkomplot bersama sekutunya yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk menyerang PAS dalam memberi tekanan agar tindakan dikenakan ke atas Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Pengarang kanannya, Zulkiflee Bakar berkata kenyataan kecaman yang dikeluarkan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan Setiausaha Agung Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook atas kebocoran analisis Zuhdi melalui aplikasi WhatsApp dilihat mencerminkan sikap sebenar kepada PAS.

"Bagaikan 'kera kena belacan', maka muncullah wira-wira, termasuk dalam kalangan NGO menyerang PAS.

"Puak-puak ini adalah antara golongan terpekik terlolong di jalanan menuntut keadilan dan mahu pelaksanaan demokrasi lebih telus, tetapi apakah kedua-dua perkara itu terpakai dalam isu melibatkan Zuhdi?" katanya dalam akhbar edisi Ahad, Mingguan Malaysia.
Menurut Zulkiflee, kecaman yang dilemparkan oleh pemimpin berkenaan seolah-olah menafikan pengorbanan yang dilakukan PAS dalam menjayakan perjuangan Pakatan Rakyat (PR).

Tambahnya, ini termasuklah turun ke jalanan bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

"Ketiga-tiga pihak itu mengecam PAS semahu-mahunya. Malah mereka juga tergamak menuduh PAS parti perkauman hanya kerana Zuhdi bercakap soal kedudukan kuasa orang Melayu dan Islam dalam WhatsApp tersebut," katanya.

Beliau berkata berdasarkan desakan tersebut, terbukti PAS hanya alat dan pak turut kepada segala kehendak dan perancangan dua parti berkenaan dan NGO terbabit.

"Mereka mahu PAS mengikut rentak politik yang disusun oleh PKR melalui perancangan penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"PAS perlu dilayan ibarat suruh duduk... duduk, suruh berdiri... berdiri, oleh itu di manakah maruah PAS sebagai sebuah parti paling kanan dalam pembangkang dan mempunyai sejarah cukup hebat dalam politik negara serta dipimpin golongan ulama?" katanya.

Zulkiflee menggesa agar kepimpinan PAS lebih tegas dalam berdepan dengan desakan PRK, DAP dan bersama NGO sekutu mereka.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil ke atas pembelot yang membocorkan kandungan WhatsApp itu kepada umum.

Dakwanya, individu yang bertanggungjawab menyebarkan WhatsApp itu diibaratkan sebagai musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan bagi parti Islam itu.

"Untuk sekelian kali, buktikankah PAS sebagai parti bermaruah.

"Malang buat PAS hanya mulut di tepi gantang. Hanya berputih mata melihat pengorbanan mereka ke atas parti dan agenda Islam bagi memuaskan selera politik Anwar, PKR dan DAP," katanya. – 3 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/utusan-dakwa-pkr-dap-komplot-dengan-bersih-beri-tekanan-kepada-pas#sthash.6sMTVZ39.dpuf
0 Komentar untuk "PKR, DAP komplot dengan Bersih beri tekanan kepada PAS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI