Samy Vellu putuskan hubungan dengan Sothinathan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Samy Vellu putuskan hubungan dengan Sothinathan


Samy Vellu putuskan hubungan dengan Sothinathan


KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, beliau telah memutuskan hubungan dengan anak didiknya, Datuk S Sothinathan yang akan bertanding merebut jawatan timbalan presiden parti itu pada 12 September ini.

"Saya tidak akan menerima beliau kerana beliau telah membelakangkan hasrat saya (dengan bertanding jawatan nombor dua)," katanya yang sekaligus menamatkan spekulasi beliau kemungkinan akan menerima Sothinathan selepas pemilihan parti.

"Saya tidak pernah mengiktiraf atau menyokong beliau. Saya meminta beliau supaya menyokong penyandang jawatan timbalan presiden Datuk G Palanivel, tapi beliau tidak dengar cakap saya," katanya.

Samy Vellu berkata, Sothinathan telah mengelirukan perwakilan dengan memberitahu cerita yang berlainan kepada orang yang berlainan bagi meraih undi.

"Saya yang membawa beliau ke dalam parti ketika beliau hanyalah kakitangan Koperasi Pekerja Jaya.

"Beliau telah lupa dan sekarang, apabila beliau berjumpa dengan orang-orang yang tidak menyukai saya, beliau memberitahu mereka supaya mengelak daripada saya.

"Tapi apabila beliau bertemu dengan penyokong saya, beliau memberitahu mereka yang saya seperti bapanya dan oleh itu, mereka (penyokong saya) perlu mengundi beliau," katanya.

Sothinathan, 49, penyandang jawatan naib presiden akan mencabar Palanivel dan bekas timbalan presiden, Datuk S Subramaniam bagi jawatan timbalan presiden.

Samy Vellu, yang mengiktiraf Palanivel untuk terus memegang jawatan itu berkata, politik bukan satu permainan.

"Tidak ada ruang untuk orang yang tidak serius dan memandang mudah ahli-ahli yang lain," katanya.

Samy Vellu berkata, beliau adalah orang yang melantik Sothinathan sebagai setiausaha agung parti yang membolehkannya berhubung rapat dengan perwakilan dan pengerusi cawangan.

"Saya tidak harap beliau (Sothinathan) menghargai tetapi saya tidak mahu beliau memperdaya perwakilan dan ahli-ahli parti dengan mempercayai yang beliau adalah orang Samy Vellu.

"Beliau adalah beliau yang sekarang kerana saya. Tanpa saya, beliau tidak akan menjadi Ahli Parlimen Teluk Kemang, seorang Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri.

"Beliau menjadi seseorang hari ini kerana saya dan hari ini, beliau menggunakannya (kedudukan) untuk mencemarkan nama dan kerja-kerja yang saya lakukan untuk parti," katanya.

Samy Vellu berkata, beliau mahu membina ahli-ahli pasukan dalam MIC namun Sothinathan ingin menjadi bekerja sendirian.

"Apa yang saya tahu, apabila orang yang saya didik menipu saya, saya akan menyingkirkannya dari fikiran saya dan ramai ahli-ahli MIC dan pengerusi cawangan tahu tentang ini," katanya.
1 Komentar untuk "Samy Vellu putuskan hubungan dengan Sothinathan"

SOTHINATHAN : MY VISION FOR CHANGE
http://indiansmalaysia.blogspot.com/2009/09/sothinathan-my-vision-for-change.html


DATO SOTHINATHAN : BELIEVE IN CHANGE-VOTE FOR CHANGE
http://indiansmalaysia.blogspot.com/2009/09/dato-sothinathan-believe-in-change-vote.html

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI